Anwar: Seluruh negara Asean harus bantah intipan Amerika

JAKARTA 6 NOVEMBER: Seluruh negara Asean harus membantah keras intipan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara terlibat, kata Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lapor Kompas.com, Anwar berkata, melalui penyatuan semua negara Asean, bantahan lebih mudah dan didengari.

“Kita harus ambil sikap (tindakan), harus tegas, terutama menuntut mereka untuk minta maaf. Segera keluarkan (ungkapan(kenyataan)) siapa saja yang terlibat,” kata Anwar pada pertemuan dengan Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPD) Irman Gusman di Jakarta, semalam.

Katanya, negara-negara Asean seperti Indonesia dan Malaysia yang dikhabarkan diintip Amerika masih berlembut dan tidak tegas.

Menurut Anwar, Indonesia hanya sekadar melakukan bantahan tanpa tindakan lebih jauh.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan, reaksi Indonesia itu lebih baik dibandingkan pemerintah Malaysia yang sama sekali belum mempamerkan bantahan.

“Sampai sekarang pemerintahan Malaysia belum ada pernyataan keras terhadap (isu) ini. Sering kali kita menemukan sikap yang lemah,” kata mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu, lapor portal Indonesia itu dipetik.

Anwar selanjutnya membandingkan dengan negara-negara Eropah seperti Jerman yang juga menjadi sasaran intipan Amerika. Ini kerana Jerman menentang keras setelah mengetahui Kanselor Jerman, Angela Merkel diintip.

“Jerman sebagai negara tetangga (jiran) masih dicurangi, apalagi negara Asia. Untuk itu, kita harus memprotes keras. Harus tegas, terutama menuntut untuk (Amerika) meminta maaf,” tegas Anwar.

Dilaporkan, Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS diketahui mengintip komunikasi negara-negara sekutu mereka di Eropah. AS juga disebut mengintip komunikasi pemerintah Indonesia. Australia juga dilaporkan melakukan hal yang sama terhadap Indonesia.

Laporan terbaru di laman Sydney Morning Herald 31 Oktober lalu menyebut, pejabat Kedutaan Besar Australia di Jakarta turut menjadi lokasi intipan maklumat elektronik.

Sehubungan itu, Kerajaan Indonesia meminta pengesahan Kedutaan Besar AS dan Australia mengenai intipan yang diduga dilakukan kedua-dua negara tersebut terhadap negara itu tetapi hasilnya, AS mahupun Australia sekadar membisu.

Anwar dalam kenyataan sebelum itu menyelar sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membisu terhadap tindakan tercela itu.

Posted in KEADILAN, Malaysian Mothers Against Crime, Politik, Sosial | Tagged | 1 Komen

Salam Maal Hijrah 1435H

maal hijrah 1435

Salam Maal Hijrah 1 Muharam 1435H

Setahun berlalu dengan pelbagai peristiwa dan sejarah telah kita catatkan. Sebagai manusia pastinya setiap kali tahun baharu muncul akan ada pengharapan untuk kebaikan.  Begitulah gambaran Hijrah yang tercatat di zaman khalifah Islam ke 2 waktu itu, Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab. Seorang pemimpin yang berperibadi tinggi, berhemah dalam pentadbiran yang mengutamakan kebajikan rakyat. Tegas dan adil menjalankan tanggungjawab.

Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab semasa pentadbirannya menekankan dan menggalakkan kegiatan keilmuan dan pendidikan, mengukuhkan perundangan, ekonomi dan sosial. Baginda adalah wajar dijadikan contoh kepimpinan dalam kerangka memartabatkan agama dan membina bangsa di Malaysia. Insya Allah

Ayuhlah kita semua menerapi semangat kepimpinan baginda yang mengutamakan hak dan kebajikan rakyat. Kita laksanakan tatakelola pentadbiran yang adil dan amanah. Justeru semangat Hijrah ini dapat dimaknai dan dinilai dengan keikhlasan dalam menjalankan tugas harian. Maka tidak akan timbul pengkhianatan kepada semua pemegang amanah.

Oleh yang demikian, KEADILAN menyeru kepada seluruh warga Malaysia sempena tahun baharu Hijrah ini agar kita semua terapkan dalam kehidupan dengan semangat politik nilai yang menzahirkan kepimpinan yang dihormati.

Salam Maal Hijrah 1435.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden

Parti KEADILAN Rakyat

Posted in KEADILAN | Tagged , | 1 Komen

Program Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Sungai Limau pada 2 dan 3 November 2013

11.15 pagi

Mendarat di Lapangan Terbang Alor  Setar

12.15 tengah hari

Hadir Taklimat di Markas Induk PAS & Makan Tengah hari bersama Pimpinan Kanan PAS & Keadilan

1.15 petang – 2.15 petang

Rehat & Solat

2.30 petang – 3.30 petang

Hadir Hi – Tea Wanita Keadilan

4.00 petang

Melawat Pengundi Sg. Kering

6.00 petang

Melawat Bilik Gerakan Utama  Parti Keadilan Rakyat

7.00 petang – 8.15 malam

Rehat & Solat

8.15 malam

Pertemuan tertutup dengan  Petugas Keadilan PRK bersama

Y.A.B. Tan Sri Abdul Khalid   Ibrahim

9.30 malam

Ceramah 1

10.30 malam

Ceramah 2 di Dulang Besar

3hb November 2013 ( Ahad )

9.00 pagi

Ziarah Keluarga Almarhum Ustaz Azizan

( Bekas Menteri Besar Kedah)

10.30 pagi

Ziarah Pengundi Sasaran

12.30 tengah hari

Makan Tengah hari & Solat

2.00 petang

Hadir Hi- Tea Wanita Keadilan

4.00 petang

Bertolak ke Lapangan Terbang Alor Setar

 

Posted in Demokrasi, KEADILAN | Tinggalkan komen

Anwar luncur buku terbaru Dr Syed Husin 3 Nov

(Oleh Ain Ismail)

KUALA LUMPUR 31 OKT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncurkan buku terbaru Dr Syed Husin Ali, ‘The Malay Rulers : Regression or Reform?’ Ahad 3 November ini.

Pelancaran dibuat di Dewan Ilmu, Perpustakaan Petaling Jaya bermula jam 2.30 petang dan masuk adalah percuma.

Buku ‘The Malay Rulers : Regression or Reform?’ mengkaji kedudukan, peranan dan kuasa Raja-raja sebagaimana diperuntukkan undang-undang dan sepertimana yang diamalkan.

“Dari sudut sejarah, penulis mengesan perubahan institusi Diraja dari masa ke semasa berikutan peristiwa-peristiwa yang berbeza atau pengaruh membawa ke hari ini,” menurut penganjur, Institut Rakyat.

Satu sesi diskusi khas akan disertai panel jemputan iaitu Profesor Emeritus Tunku Shamsul Bahrin, Canselor Universiti Nilai bersama pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

Buku ‘The Malay Rulers : Regression or Reform?’ diterbitkan Gerak Budaya Enterprise dengan kerjasama Strategic Information of Research Development (SIRD).

Pengarang, Dr Syed Husin Ali kini senator negeri Selangor, ahli lembaga pengarah Institut Rakyat dan bekas Profesor Sosiologi dan Antropologi Universiti Malaya.

Untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan program, sila hubungi 03-79578342 atau emel di alamat gerakbudaya@gmail.com

Posted in Demokrasi, KEADILAN, Kenyataan Media, Pakatan Rakyat, Politik | Tinggalkan komen

Pastikan pendapatan rakyat kukuh sebelum laksana GST – Anwar

KUALA LUMPUR 30 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat agar mengukuhkan pendapatan rakyat dan memastikan infrastruktur percukaian yang baik sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, ketika beliau Menteri Kewangan, idea berkaitan pelaksanaan GST pernah diutarakan namun ia tidak dilaksana.

“Saya menyokong kajian GST, itu langkah dan sistem percukaian yang efisien, namun kita perlu melihat pendapatan rakyat.

“Pendapatan rakyat perlu ditingkatkan dan infrastuktur percukaian perlu baik sebelum melaksanakannya,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata demikian pada Ucaptama Forum mengenai GST di Parlimen yang turut dihadiri panelis Dr Lim Kim-Hwa (Penang Institute) dan Azrul Azwar (Institut Rakyat) dan dipengerusikan oleh Ooi Heng (KPRU).

Anwar berkata, sebelum pelaksanaan GST, kerajaan juga perlu menghapuskan sistem monopoli di negara ini kerana ia akan menyebabkan harga barangan meningkat.

“Monopoli juga perlu dihentikan kerana ia menyebabkan harga barang naik,” kata Anwar, dipetik Media Selangorku.

Posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Kenyataan Media | Tinggalkan komen

Undang-undang Malaysia makin mundur – Sivarasa

KUALA LUMPUR 29 OKT: Malaysia semakin mundur apabila memperkenalkan undang-undang menghalang kebebasan maklumat, kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Katanya, langkah kerajaan memasukkan Seksyen 203A ke dalam Kanun Keseksaan menafikan hak orang ramai terhadap maklumat.

“Ia menjadi OSA (Akta Rahsia Rasmi) kedua. Malaysia semakin mundur dengan undang-undang lapuk,” kata Sivarasa kepada Keadilan Daily.

Kerajaan pada 22 Oktober lalu meluluskan kemasukan Seksyen 203A ke dalam Kanun Keseksaan yang memperuntukkan larangan kepada penjawat awam daripada mendedahkan sebarang maklumat tugasannya kepada awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri sebelum in berkata akan membuat semakan lanjut dan merujuknya ke pejabat Peguam Negara.

Kata Sivarasa, apa yang diinginkan orang ramai ialah maklumat berhubung kes-kes berprofil tinggi melibatkan salahkau, penyelewengan dan rasuah yang dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Peruntukan ini terlalu umum dan berpotensi disalahgunakan untuk menutup sesuatu perkara.

“Sedangkan yang dikehendaki orang ramai bukannya maklumat tugasan penjawat awam. Tetapi hal berkaitan pendedahan rasuah, skandal kewangan dan salah urus tadbir kerajaan,” katanya.

Posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Pakatan Rakyat, Politik | Tinggalkan komen

Bajet BN 2014 gagal tangani jurang miskin-kaya – Anwar

KUALA LUMPUR 29 OKT: Kecuaian jelas dalam Bajet BN yang dibentang Datuk Seri Najib Razak ialah kegagalan menangani jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun Najib bicara soal transformasi, tetapi kalau lihat kerangka bajet (yang dibentangnya) itu tidak berubah. Masalah kesenjangan atau melebarnya jurang pendapatan golongan kaya dengan yang miskin tidak disentuh,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Ketua Umum KEADILAN itu turut menempelak tindakan Najib merampas subsidi rakyat lebih RM7 bilion dan pada masa sama mempropagandakan wang golongan itu atas nama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang jumlahnya jauh lebih kecil.

“Subsidi rakyat lebih RM7 bilion ditarik balik dan diganti dengan BR1M yang jauh lebih kecil. Oleh kerana BR1M jadi bahan propaganda besar politik sempit Umno, maka ia diulang-ulang, bertujuan cuba menutup pemotongan subsidi rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Anwar, Belanjawan Pakatan Rakyat jauh lebih baik kerana menolak pendekatan pengurangan subsidi sebagai langkah utama mengurangkan defisit negara.

“Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 mencadangkan pengurangan perbelanjaan pengurusan negara 10 peratus bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan sebagai langkah utama yang dicapai menerusi penangguhan kenaikan gaji dan elaun pegawai atasan kerajaan dan menteri kabinet

“Mengkaji semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama pemberian kontrak dan prokumen peralatan serta menangguh sebarang projek yang didapati merugikan rakyat,” katanya lagi.

Posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN | Tagged | Tinggalkan komen

Kongres Nasional Khas KEADILAN 24 November

PETALING JAYA 29 OKT: KEADILAN akan menganjurkan Kongres Nasional Khas 2013 pada 24 November ini di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di Shah Alam.

“Kongres itu nanti bakal dihadiri 2000 perwakilan seluruh negara termasuk Sabah Sarawak dan tetamu jemputan,” kata pemangku Setiausaha Agung, Tian Chua yang juga Naib Presiden parti.

Turut sama pada sidang media itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datin Paduka Tan Yee Kew.

Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil yang ditemui sebelum itu berkata, matlamat Kongres tersebut untuk membentang dan meluluskan beberapa pindaan dalam perlembagaan parti.

Menurutnya, pindaan tersebut akan memberi kesan kepada proses pemilihan parti kali ini.

Fahmi berkata, antara cadangan yang hangat dan hebat dibincangkan ialah pindaan jumlah undi untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kalau sebelum ini seorang ahli boleh memilih 20 nama calon tetapi cadangan sekarang adalah meminda kepada lima nama sahaja untuk memudahkan proses pengiraan undi dan ia sedang dipertimbangkan.

“Beberapa maklumat berhubung pindaan lain akan kita maklumkan kemudian,” katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Mengulas berhubung perkembangan pemilihan pimpinan KEADILAN, Fahmi berkata, pemilihan tersebut akan diadakan antara April atau Mei tahun hadapan.

“Kaedah pemilihan di peringkat cabang dan pusat juga akan berlaku perubahan di mana pemilihan akan diadakan sekali untuk menjimatkan masa dan tenaga berbanding sebelum ini dibuat secara berasingan,” jelasnya.

Posted in Demokrasi, KEADILAN, Kenyataan Media, Politik | Tagged , | Tinggalkan komen

Teks Penuh Ucapan Perbahasan Belanjawan Negara 2014 oleh Ketua Pembangkang

1. Sebenarnya, Bajet Barisan Nasional 2014 hanyalah satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya mementingkan dan menguntungkan segolongan kecil rakyat disebalik penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak

2. Meskipun Bajet Barisan Nasional diramalkan akan mengakibatkan pengurangan defisit Negara dari 4% kepada 3.5% KDNK, apabila dikaji dengan lebih teliti, masalah fiskal ini tidak diatasi dengan cara yang betul. Perbelanjaan pengurusan negara sepatutnya dikurangkan melalui pengurangan perbelanjaan perbekalan dan perkhidmatan yang selalunya terededah kepada ketirisan dan pembaziran, manakala, perbelanjaan pembangunan sepatutnya ditambah untuk menjana lebih banyak program-program pembangunan ekonomi

3. Ciri dan masalah utama Bajet Barisan Nasional adalah perbelanjaan pengurusan negara sekali lagi naik daripada RM 216.2 billion (2013) kepada RM 217.6 billion (2014), manakala, perbelanjaan pembangunan terus-menerus dikurangkan daripada RM 45.1 billion (2013) kepada RM 44.5 billion (2014). Perbelanjaan subsidi untuk rakyat pula dikurangkan serta mendadak sebanyak RM 7.3 billion dan seterusnya cengkaman kewangan rakyat ditambahkan melalui GST pada kadar 6% pada 2015

4. GST juga merupakan suatu kebimbangan memandangkan ianya merupakan suatu bentuk cukai regresif yang sekiranya dilaksanakan dalam keadaan ekonomi kini akan menyebabkan pelebaran jurang ketidakseimbangan pendapatan (“income inequality’) yang wujud kini.

5. Di dalam keghairahan pemimpin Barisan Nasional meniru penyelesaian ekonomi dari Barat, seperti GST, kita tidak mahu wujudnya suatu keadaan ketidakseimbangan pendapatan yang lebih buruk di Malaysia, di mana golongan berada bertambah kaya, golongan bawahan semakin menderita, sepertimana yang sedang dialami di Amerika Syarikat. Menurut suatu kajian yang dibuat oleh Emmanuel Saez di University Calfornia Berkeley, mengenai permasalahan ketidakseimbangan pendapatan di Amerika Syarikat bertajuk “Striking it Richer: The Evolution of Top Incomes in the United States” bertarikh September 2013, beliau mendapati bahawa; “the top 1% incomes (of the population) grew by 31.4% while bottom 99% incomes grew only by 0.4% from 2009 to 2012. Hence the top 1% captured 95% of the income gains in the first three years of the economic recovery hence, close to recovering, while the bottom 99% have hardly started to recover”

6. Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014, Pakatan Rakyat dengan jelas telah menggariskan cadangan pengurangan defisit dengan menangani ketirisan dan pembaziran yang rata-ratanya membarah pada perbelanjaan pengurusan menurut Laporan Ketua Audit Negara

Realiti Ekonomi Global

7. Prospek yang lebih baik bagi ekonomi global pada tahun 2014 berbanding 2013 oleh badan dunia seperti OECD, IMF dan Bank Dunia pada kadar 3.0% hingga 4.0% tidak boleh dijadikan alasan untuk Malaysia bersikap tidak endah akan kedudukan fiskal dan pembangunan ekonomi negara

8. Ini adalah kerana ramalan di atas masih lagi tertakluk kepada beberapa faktor global yang penuh ketidaktentuan seperti siling hutang kerajaan dan penarikan semula “quantitative easing” di Amerika Syarikat, kelembapan ekonomi Eropah akibat kesan penjimatan dan pertumbuhan ekonomi negara China yang kurang memberangsangkan

9. Berdasarkan ketidaktentuan di atas, pengurusan ekonomi yang berhemah perlu menjadi dasar utama kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak terpaksa berdepan dengan risiko kenaikan kos khidmat bayaran hutang negara secara mendadak, penguncupan permintaan dalam negeri bagi mengimbangi sebarang penurunan permintaan luar akibat kemerosotan eksport dan risiko defisit berkembar pada belanjawan negara dan penguncupan akaun semasa

10. Mutakhir ini, kita telah menyaksikan satu siri pasang surut modal di dalam pasaran aset global kerana para pelabur terutamanya yang dahulunya selesa dengan era “wang mudah” kini dilihat menjual asset-aset yang lebih berisiko terutamanya dalam pasaran negara membangun dan lebih cenderung mengalihkan pelaburan mereka ke dalam aset pasaran maju yang dilihat lebih baik dan selamat

11. Sekiranya jangkaan pemulihan ekonomi global yang lebih meluas dan muktamad tidak menjadi kenyataan, kemerosotan eksport semasa dijangkakan akan terus memberi tekanan ke atas sektor pembuatan Malaysia sehingga hujung tahun ini, mengheret pertumbuhan KDNK pada kadar yang lebih perlahan dan melewatkan pemulihan muktamad bagi ekonomi Malaysia ke suku kedua 2014 meskipun sokongan yang memberangsangkan dari permintaan domestic swasts dan awam. Buat masa ini, Pakatan Rakyat menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 5.2% bagi tahun 2014

12. Jangkaan pengurangan subsidi berterusan dan pengenalan Goods & Services Tax (GST) dilihat sebagai usaha konsolidasi fiskal untuk mengelakkan kemungkinan penurunan taraf kepada penarafan kredit berdaulat Malaysia berikutan semakan bagi “outlook” kepada negatif daripada stabil oleh Fitch Ratings pada hujung bulan Julai 2013, berkemungkinan memberi tekanan ke atas inflasi pada masa hadapan.

13. Pengurangan berterusan kepada lebihan akaun semasa Malaysia, yang mengecil kepada hanya RM2.55 billion pada suku kedua 2013 berbanding purata sukuan sebanyak RM23.93 billion di antara 2005 dan 2012, memungkinkan Malaysia menghadapi masalah defisit berkembar (“twin deficit”) dalam jangka masa yang terdekat.

PRESTASI KERAJAAN BN SEMENJAK PRU-12

Prestasi buruk dan tiada kesungguhan pengurangan perbelanjaan pengurusan

14. Berdasarkan data Kementerian Kewangan di dalam Laporan Ekonomi tahunannya, jelas bahawa, perbelanjaan  pengurusan sebenar bertambah setiap tahun mulai 2010. RM 151.6 billion 2010, RM 182.6 billion 2011, RM 205.5 2012 dan RM 216.2 untuk anggaran 2013. Kadar purata pertambahan untuk setiap tahun adalah sebanyak RM 22 billion atau 13%

15. Perbelanjaan pembangunan pula menurun secara konsisten setiap tahun bermula 2010, iaitu RM 51.3 billion 2010, RM 45.3 billion 2011, RM 44.3 billion 2012 dan RM 45.1 billion untuk anggaran 2013. Kadar purata pengurangan setiap tahun adalah sebanyak RM 2 billion atau 5%

16. Ini ditambah pula dengan perbekalan tambahan yang dilakukan 2 kali setahun secara berterusan semenjak 2009

17. Kajian perbedaan di antara anggaran jumlah perbelanjaan tahunan dengan jumlah perbelanjaan sebenar tahunan mendapati bahawa “underestimation” jumlah perbelajaan tahunan kerajaan adalah pada kadar purata 7% setiap tahun

18.  Kadar purata peningkatan jumlah perbelanjaan tahunan kerajaan tahun demi tahun pada 9% juga amat membimbangkan terutamanya apabila kadar pertumbuhan ekonomi hanya pada 4% hingga 5% setahun. Dalam ertikata lain, kadar kenaikan perbelanjaan mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi yang boleh menjurus ekonomi Negara kepada keadaan yang lebih parah

19. Kami juga ingin memaklumkan Dewan ini bahawa sebelum pimpinan Dato’ Seri Najib, kerajaan selalunya memperuntukkan 30 hingga 35% daripada jumlah perbelanjaan untuk perbelanjaan pembangunan. Tetapi pada era Dato’ seri najib, nisbah ini telah turun pada kadar 20%. Perlu diingatkan bahawa masih banyak pembangunan perlu dilakukan di kawasan pendalaman dan negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak yang bakal mengecapi sedikit keselesaan sekiranya perbelanjaan pembangunan ditingkatkan

20. Jika kesemua permerhatian ini diambilkira, adakah ini gambaran sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berhemat dikala rakyat menderita akibat kesempitan ekonomi dan bebanan kewangan?

21. Oleh itu, perlukah Dewan ini percaya akan angka-angka anggaran yang diberi kerajaan untuk tahun 2014? Setiap kali anggaran perbelanjaan dibuat sudah tentunya jumlah perbelanjaan sebenar akan menjadi lebih besar dan sudah tentu juga akan ada perbekalan tambahan. Kami menganggarkan bahawa perbelanjaan pengurusan 2014 akan bertambah sekurang-kurangnya 10% lagi iaitu RM 22 billion, menjadikan perbelanjaan pengurusan berjumlah sekitar RM 240 billion. Ini bermakna paras defisit keseluruhan Negara bagi 2014 akan meningkat kepada RM 59 billion. Berkemungkinan besar kadar defisit negara boleh melonjak pada kadar yang lebih tinggi daripada kadar 3.5% KDNK yang dianggarkan untuk 2014. Terima kasih Barisan Nasional!

22. Di samping permasalahan defisit negara, perlu juga diingatkan bahawa penguncupan akaun semasa akibat penguncupan lebihan dagangan boleh mengheret Malaysia ke dalam permasalahan ‘twin defisit’. Ini boleh menyebabkan Malaysia kehilangan kekuatan fiskal untuk menangani kemelesetan ekonomi yang mungkin timbul akibat kelembapan berterusan ekonomi global. Perdagangan lebihan (trade surplus) untuk 2014 dianggarkan pada RM 57.3billion berbanding RM 64.3 billion (2013), RM 94.82 billion (2012), RM 124.24 billion (2011). Anggaran 2014 hampir menyamai tahun 1998 pada RM 58.44 billion.

23. Inilah kerajaan BN yang sebenar. Kerajaan boros yang kini dilamun kerunsingan akibat penerusan keborosan dan kecuaian menjaga ekonomi negara tetapi masih tidak ada kekuatan untuk mengakui kelemahan ini dengan mengurangkan perbelanjaan pengurusannya demi mengurangkan bebanan kewangan rakyat.

LANGKAH PENGURANGAN SUBSIDI

Pengurangan subsidi menguntungkan siapa?gula-naik-1

24. Kami mendapati tiada pengurangan sebenar pada perbelanjaan pengurusan melainkan pengurangan subsidi. Antara penuruan subsidi yang dimaklumkan adalah;
a.  penghapusan sebanyak RM 551.25 juta subsidi gula oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
b. pengurangan sebanyak RM 505.365 juta untuk minyak masak melalui Skim Penstabilan Harga Minyak Masak oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

25. Kita semua maklum akan kesan penghapusan subsidi gula di mana lonjakan segera sebanyak 34 sen/kg telah terkesan. Akibat dari penghapusan in, industri gula akan dimonopoli oleh 2 syarikat utama iaitu Malaysian Sugar Manufacturing (dimiliki Felda Global Ventures) dan Central Sugar (dimiliki Tradewinds).

26. Pendapatan kasar industri gula adalah sekitar RM 4 billion setahun. Pada kebiasaannya, keuntungan sebelum cukai syarikat gula adalah sekitar 9%. Setelah kemasukan syarikat dimiliki Tan Sri Mokhtar ke dalam sektor ini, keuntungan sebelum cukai telah melonjak naik kepada 15%. Dengan penghapusan subsidi, kentungan sebelum cukai syarikat-syarikat di dalam sektor ini dijangka melonjak ke 20% hingga  25% dengan pengumpulan keuntungan hampir RM 1 billion, akibat pengukuhan monopoli oleh kedua syarikat ini. Yang menjadi pertanyaan kita mengapa korporat mendapat kentungan berganda akibat penghapusan subsidi gula dan rakyat dibebankan dgn kenaikan harga gula?

27. Seharusnya liberalisasi industri gula perlu dilakukan untuk mengelakkan monopoli berterusan yang boleh mengekang kenaikan harga gula akibat pengurangan subsidi dengan kemasukan syarikat-syarikat pembekal baru. Dengan izin: Remove monopoly to allow free market mechanism to take place

28. Ketika rakyat masih lagi dikejutkan dengan kenaikan harga gula, mengapa Perdana Menteri dalam ucapan bajet beliau segan mengumumkan kenaikan harga minyak masak yang bakal dihadapi akibat pengurangan subsidi yang bernilai RM 505 juta yang hampir sama dengan subsidi gula yang dihapuskan?

29. Kita sedia maklum bahawa syarikat-syarikat pengeluar minyak masak yang dibarisi Felda, Sime Darby dan sebagainya semestinya juga mendapat keuntungan yang banyak kerana syarikat-syarikat ini memiliki ladang-ladang kelapa sawit yang banyak.

30. Mengapa kerajaan pilih untuk mengurangkan subsidi dan menyembunyikan kesan pengurangan subsidi minyak masak? Di dalam keadaan semasa di mana pengeluaran minyak mentah kelapa sawit dunia berada pada tahap yang tertinggi, kerajaan Indonesia sebagai contoh telah memperuntukkan subsidi minyak kelapa sawit (CPO) sebanyak 2 liter kepada setiap isirumah dan juga subsidi untuk biofuel. Mengapa kerajaan Malaysia tidak pilih inisiatif sebegini untuk menyerap pengeluaran CPO yang berlebihan sebaliknya membebankan rakyat dengan harga minyak masak yang bakal dinaikkan?

31. Jelas apabila dilihat kepada pengurangan subsidi bahan makanan seperti gula dan minyak masak ini, yang rugi dan terus dibebankan adalah rakyat. Sebaliknya korporat-koporat besar terus dibelai dan dilindungi daripada kerugian.

Pendekatan Pakatan Rakyat

32. Pakatan Rakyat tidak mengambil pendekatan pengurangan subsidi sebagai langkah utama untuk mengurangkan defisit negara. Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 mencadangkan pengurangan perbelanjaan pengurusan negara sebanyak 10% bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan sebagai langkah utama yang akan dicapai menerusi;
a. Penangguhan kenaikan gaji dan merasionalkan elaun pegawai atasan kerajaan dan menteri kabinet
b. Pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama sekali dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan
c. Pengutamaan perbelanjaan di mana perbelanjaan yang dianggap kurang berfaedah seperti Program Khidmat Negara yang menelan belanja RM 800 juta setahun ditangguhkan ataupun diberhentikan serta-merta sehingga kajian dibuat
d. Penangguhan projek-projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi dan kesan pengganda yang rendah

33. Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas kes-kes ketirisan dan penyelewengan yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi mengurangkan ketirisan di dalam perbelanjaan Negara sekiranya berkuasa.

34. Sebagai contoh penjimatan, sebanyak RM 1.1 billion boleh dijimatkan di dalam Pengurusan Projek Mansuh oleh Jabatan Kerja Raya, RM 1.6 billion dalam projek penyediaan sistem kawalan keselamatan di sekolah/institusi pendidikan dan termasuk perbelanjaan hari belia selama seminggu yang menelan belanja RM 67.6 juta dan bukan hanya bayaran k-pop sebanyak RM 1.6 juta.

35. Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 juga mencadangkan penubuhan sebuah Defence Accounts Committee Dwipartisan yang dianggotai oleh wakil kerajaan, pembangkang dan pakar pertahanan awam yang akan memantau kesemua perbelanjaan pertahanan yang tidak diklasifikasi sulit. Penjimatan sebanyak RM 3.5 billion boleh dicapai menerusi inisiatif ini. Tiada langsung inisiatif untuk memperbaiki dan mengkaji semula polisi pemerolehan pertahanan negara yang diselimuti pelbagai kontroversi di dalam Bajet 2014.

Pemberian BR1M tidak cukup untuk mengimbangi pengurangan subsidi

36. Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 (mukasurat 36), jumlah penerima BR1M (dan berpendapatan kurang RM 3,000 sebulan) adalah 4.8 juta isirumah yang layak, manakala angka Jabatan Perangkaan Negara adalah pada 2.65 juta isirumah. Sekiranya jumlah sebenar isirumah yang layak adalah benar lebih rendah, adakah ini satu lagi bentuk kebocoran yang bakal direstui kerajaan BN? Sekiranya juga angka kerajaan yang lebih tinggi adalah benar, maka tidakkah ini juga bermakna golongan berpendapatan rendah di Malaysia semakin bertambah?

37. Sejumlah RM 7.29 billion subsidi dikurangkan untuk 2014 (RM 39,408 billion) berbanding 2013 (RM 46.698 billion). Pada 2013, bayaran untuk BR1M berjumlah RM 2.9 billion. Untuk 2014, penambahan bayaran BR1M dianggarkan bertambah sebanyak RM 1.7 billion. Dengan ini, potongan subsidi sebanyak RM 7.29 billion jauh melebihi kenaikan bayaran BR1M untuk 2014. Kesimpulannya, perbezaan sebanyak RM 5.6 billion yang di kutip oleh kerajaan ini masih akan dibiayai oleh penerima-penerima BR1M kerana pengurangan subsidi, walaupun BR1M ditambah.

38. Perlu dimaklumkan juga di Dewan yang Mulia ini bahawa kerajaan masih belum menunaikan janji-janjinya yang berkait dengan BR1M pada PRU-13 yang lalu. Kerajaan menjanjikan kenaikan BR1M untuk setiap isirumah dari RM500 kepada RM1200. Hingga kini hanya RM 650 diberi. Begitu juga bantuan BR1M kepada warga bujang yang dijanjikan untuk dinaikkan dari RM 250 kepada RM 600. Setakat ini hanya RM 300 diberi. Inilah kerjaan BN dengan slogan kosongnya: “janji ditepati”

Pengurangan perbelanjaan pembangunan kepada rakyat luar bandar, belia dan rakyat terbanyak, Sabah dan Sarawak

39. Bajet BN 2014 juga telah menyatakan pengurangan perbelanjaan pembangunan yang agak tinggi kepada kementerian dan agensi kerajaan yang berperanan untuk membantu golongan berpendapatan rendah luar bandar.

40. Di antara yang boleh kami ketengahkan adalah:
a. Pengurangan peruntukan untuk pembangunan perkhidmatan kesihatan luar bandar sebanyak -RM 130 juta
b. Pengurangan peruntukan pembangunan luar bandar, termasuk Institut Kemahiran Mara (- RM 50 juta), Bekalan Elektrik luar bandar (-RM 47 juta), bekalan air luar bandar (-RM 136 juta), Jabatan Kemajuan Orang Asli (-RM 24 juta).
c. Pengurangan peruntukan pembangunan jalan-jalan dan jambatan oleh Kementerian Kerja Raya di Sabah & Sarawak (-RM 158 juta).

41. Ini berbeda dengan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat yang juga akan menyegerakan pembinaan dan menaiktaraf lebuhraya Pan-Borneo untuk menghubungkan semua bandar di Sabah dan Sarawak. Pakatan Rakyat juga akan menyelesaikan isu-isu tanah Orang Asal secepat mungkin dengan menyegerakan pengeluaran geran-geran tanah agar Orang Asal dapat memiliki tanah untuk menjana pendapatan. Pakatan Rakyat juga akan mengkaji semula polisi Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak untuk mengurangkan harga barangan di sana

42. Sebaliknya, jumlah peruntukan perbelanjaan untuk pengurusan Jabatan Perdana Menteri naik sebanyak RM 1.5 billion untuk 2014 berbanding 2013

43. Jelas bahawa pembangunan golongan berpendapatan rendah terus dipinggirkan tetapi pembayaran yang tinggi untuk khidmat jururunding-jururunding yang mahal di Jabatan Perdana Menteri terus dikekalkan dan ditambah

Duplikasi agensi sedia ada bakal merugikan negara

44. Beberapa agensi baru akan ditubuhkan yang bakal mempunyai matlamat yang sama seperti agensi yagn sudah sedia ada. Ini akan menyebabkan duplikasi dan pembaziran. Antara contoh adalah:
a.  The Malaysian Green Foundation dengan geran pelancaran sebanyak RM15 juta apabila  Green Technology Corporation Malaysia sudah diwujudkan
b. Skim Permulaan Entreprenor Melayu Bumiputera (SUPERB) dengan peruntukan permulaan sebanyak RM30 juta apabila kita sudah mempunyai TERAJU dengan geran mudah cara sekurang-kurangnya RM 412 juta
c. Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta apabila kita sudah mempunyai Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.
d. Apakah motif penubuhan New Entrepreneurs Foundation (MyNEF) dan SME Corp dimana kedua-duanya mempunyai objektif yang sama?

45. Pakatan Rakyat juga mencadangkan agar 1MDB digabungkan bersama Khazanah Nasional Berhad memandangkan keduanya mempunyai objektif dan fungsi yang sama. Penggabungan ini boleh menjimatkan perbelanjaan pengurusan yang bernilai berjuta ringgit dan ia juga penting bagi menjana keyakinan para pelabur dan penganalisa luar terhadap 1MDB yang kini dianggap tidak telus, penuh kerahsiaan dan diselubungi pelbagai kontroversi, terutama sekali dalam isu siapakah yang mendapat habuan keuntungan terbesar dalam penerbitan bon bernilai USD 3 billion melalui Goldman Sachs yang bertaraf ‘sovereign’ pada bulan April 2013.

gst

GST

Malaysia tersendiri dan rakyat bakal kesempitan

46. Walaupun GST pada dasarnya diandaikan boleh menjadi mekanisma penjana hasil yang berkesan dengan pengenaan cukai kepada kesemua rakyat serta mengekang ‘ekonomi gelap’ dan pengelakkan cukai yang berleluasa, Pakatan Rakyat berpendirian bahawa:

47. GST merupakan cukai regresif di mana golongan berpendapatan rendah dan tinggi akan membayar GST. Walaubagaimanapun, golongan berpendapatan rendah dan menengah akan kehilangan peratusan pendapatan yang lebih tinggi untuk membayar GST berbanding golognan berpendapatan tinggi. United Nations Conference on Trade and Development UNCTAD, di dalam laporannya “Trade and Development Report 2012: Policies for Inclusive and Balanced Growth” telah menyatakan bahawa Value-Added Tax (VAT) atau Goods and Services Tax (GST) adalah bersifat regresif; “The lower share of the income tax yield and the higher share of VAT(or GST) in total tax revenues indicate that the tax system overall is more regressive in developing and transition economies than in developed countries”;

48. Kemungkinan penyalangunaan kuasa oleh kerajaan persekutuan sebagai jalan mudah untuk meningkatkan hasil secara cepat kerana GST selalunya berada pada kadar yang lebih rendah berbanding tahap cukai pendapatan;

49. GST boleh menjadi punca utama kenaikan inflasi. CIMB Research meramalkan bahawa perlaksanaan GST pada mana penyelewengan berleluasa dan penguatkuasaan yang lemah (kerana ketiadaan Akta Anti-Pencatutan, Akta Persaingan, sistem laporan) akan membolehkan pertambahan inflasi kepada tahap 5% lebih tinggi dari tahap sekarang;

50. Menurut satu kajian oleh Wee Chong Hui (Wee Chong Hui, 2006, Fiscal Policy and Inequality in Malaysia, Universiti Malaya Press, Kuala Lumpur) GST oleh menyumbang kepada pelebaran jurang pendapatan isirumah (income inequality) yang merupakan antara masalah utama di Malaysia

51. GST juga mampu membantutkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pertumbuhan sector ‘ekonomi gelap’ terutama sekali dalam negara-negara membangun. Joseph Stiglitz dalam kertas pembentangannya berjudul “Development Oriented Tax Policy” mengatakan: “Economists have long recognized that any market taxation encourages non-market production, and that this can constitute a significant distortion. …Similar issues arise in developing countries, except is not only labor within the household which escapes taxation, but work in the informal sector, which typically cannot easily be monitored, or monitored at all. Accordingly, a VAT or GST shifts resources away from the formal sector into the informal sector, lowering GDP”

52. Keperluan Malaysia untuk melaksanakan GST berbeda dengan negara-negara lain dan tidak boleh dibandingkan secara terus

53. Sebagai contoh, GST dilaksanakan di Singapura kerana perlunya kerajaan menambah pendapatan akibat bilangan cukai pendapatan rakyatnya yang terhad. Kadar kenaikan pendapatan lebih tinggi dari kenaikan kadar cukai. Sebelum perlaksanaannya, Singapura sudahpun mempunyai sistem percukaian yang sistematik dan GST dimulakan dengan kadar yang lebih rendah, iaitu 3%, dan dikekalkan selama 7 tahun berikutnya

54. Menyenaraikan negara-negara seperti Rwanda, Zimbabwe dan Cambodia untuk menjustifikasikan pelaksanaan GST di Malaysia adalah tidak sesuai sama sekali memandangkan negara-negara tersebut tidak mempunyai sistem kutipan cukai pendapatan yang baik ditambah juga dengan keberhasilan yang sedikit. Jadi, negara-negara ini patut melaksanakan GST untuk menjamin pendapatan berterusan

55. Komuniti perniagaan seluruhnya menjangkakan penambahan kos sebanyak RM 2 bilion untuk penyediaan sistem dan pematuhan perundangan (compliance)

56. Pelaksanaan SST pada 2013telah membawa masuk RM 16.4 bilion ke dalam kantung negara, manakala, pelaksanaan GST pada kadar 6% dijangka akan membawa pulangan tambahan sebanyak RM 12 billion kepada negara menurut kajian CIMB Research. RM 12 billion tambahan melalui melalui GST ini sudah semestinya dibiyai oleh kesemua rakyat.

57. GST dijangkakan akan memberikan lebih kesan negatif kepada golongan penerima BR1M yang berpendapatan kurang dari RM 3,000 sebulan. Dengan terlaksananya GST, bantuan BR1M yang diberikan untuk membantu golongan ini berbelanja bagi tujuan memacu ekonomi melalui permintaan domestik akan terkesan. Pengurangan permintaan domestik dikala permintaan luar berkurangan boleh membawa negara ke dalam kemelut kemelesetan ekonomi

58. Lazimnya, kerajaan yang melaksanakan GST akan menaikkan kadar GST di masa hadapan kerana cukai ini adalah antara yang paling mudah dikenakan.  Perlaksanaan GST akan merangsangkan kerajaan yang boros ini untuk menaikkan kadar GST tatkala kesempitan

59. Oleh itu kami berpendirian bahawa GST masih belum boleh dilaksanakan dan perlu terus dikaji sehingga pendapatan rakyat berada pada suatu tahap yang memuaskan, kutipan cukai pendapatan diperbaiki seluruhnya dan sehingga kedudukan ekonomi negara berada pada tahap yang lebih memberangsangkan

60. Kerajaan BN tidak mempunyai legitmasi moral untuk mengenakan GST kepada kesemua rakyat selagi mereka tidak memperbaiki perbelanjaan mereka dan mengurangkan kebocoran dan penyelewengan.

Penutup

61. Seperti yang saya sebutkan pada awal bicara, Bajet Barisan Nasional 2014 hanyalah satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya mementingkan dan menguntungkan segolongan kecil rakyat disebalik penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak

62. Sesungguhnya inilah kerajaan yang tidak “menepati janji (“Janji ditepati”) dan yang mendahulukan rakyat (“Rakyat Didahulukan) dan bukan dirinya sendiri terutama sekali dalam menyelesaikan permasalahan defisit negara yang telah kekal lama semenjak PRU-12 yang lalu

Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Kenyataan Media, Pakatan Rakyat | Tagged , , | Tinggalkan komen

Belanjawan Pakatan kemuka pelan atasi ketirisan, pembaziran & rasuah sifar

Belanjawan Pakatan kemuka pelan atasi ketirisan, pembaziran & rasuah sifar

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mensasarkan hasil kerajaan dipertingkatkan kepada RM226.7 bilion pada tahun 2014 berbanding dengan RM218.3 bilion tahun ini, dan nisbah defisit kepada KDNK dikurangkan kepada 3.2% pada tahun 2014 daripada 4.6% tahun.

Pakatan Rakyat percaya sekiranya Kerajaan Persekutuan mengamalkan pentadbiran telus, bertanggungjawab dan berintegriti, nescaya dapat diwujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing dan seterusnya mempertingkatkan pendapatan rakyat secara amnya.

viewerDalam pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat di Parlimen pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah yang mewakili Parti Keadilan Rakyat menegaskan bahawa, Pakatan Rakyat mempunyai satu resipi bukan rahsia yang mudah akan tetapi BN tiada langsung iaitu komitmen politik.

“Satu komitmen politik untuk mencapai ketirisan, pembaziran dan rasuah sifar. Ini adalah antara sebab utama mengapa kita boleh mempunyai sasaran konsolidasi fiskal yang lebih mampan daripada BN, dan ini telah pun terbukti di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan”.

Dalam Belanjawan 2014 yang bertemakan “Mempertahankan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang”, Pakatan Rakyat mensasarkan pengurangan sebanyak 10 % bagi semua semua bekalan dan perkhidmatan daripada perbelanjaan operasi di mana kerajaan persekutuan boleh merealisasikan penjimatan tahunan sebanyak RM10 hingga 15 bilion, berbanding dengan pembaziran di bawah pengurusan BN dianggarkan RM30 hingga RM40 bilion setahun.

Pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke menggariskan empat teras utama yakni: 1) Memperkukuhkan Kedudukan Fiskal dan Memperkasa Kewangan Awam; 2) Mempertingkatkan Kesejahteraan dan Kualiti Kehidupan Rakyat – Agenda Sebuah Negara Berkebajikan; 3) Memastikan Pembangunan Ekonomi yang Lebih Seimbang, Inklusif dan Mampan; dan 4) Merungkai Potensi Sebenar dan Mempertingkatkan Daya Saing Jangka Panjang Negara.

Pakatan Rakyat berpendirian bahawa GST merupakan cukai regresif di mana sebagai peratusan pendapatan, golongan berpendatapan rendah terpaksa membayar cukai lebih tinggi daripada golongan  berpendapatan tinggi; maka golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan akan menanggung beban cukai yang lebih tinggi berbanding yang kaya.

bajet“Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat memberi penekanan kepada Penjimatan Ringgit (PR) dan bukan kenaikkan harga. Program-program yang merugikan rakyat seperti Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) yang menelan belanja tahunan RM800 juta dan juga Program Susu 1Malaysia yang menelan belanja sebanyak RM170 juta harus dihapuskan. Maka Pakatan Rakyat menolak sepenuhnya pengenalan GST,” ujar Anthony Loke yang mewakili DAP.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga bercadang untuk menambah bilangan pembayar cukai dengan mempertingkatkan pendapatan rakyat dan tenaga kerja terutamanya di kalangan orang muda sebagai salah satu mekanisme penjanaan hasil yang lebih tuntas.

Untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat, Pakatan Rakyat mengusulkan pengurangan kos sara hidup dengan mengawal harga bahan makanan, rumah, pendidikan, penjagaan kesihatan dan produk farmasi, dan utiliti.

“Kami mencadangkan langkah-langkah yang praktikal dalam menangani kos hidup yang tinggi dan menekan rakyat secara keseluruhan; dalam masa yang sama tidak memberi bebanan tinggi kepada kerajaan dan tidak memberi impak negatif kepada industri atau sektor itu sendiri,” kata wakil PAS Khalid Samad.

Dalam komitmen memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif, Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memberi penekanan untuk merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar seperti pengenalan Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak; Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak seperti semakan semula Dasar Kabotaj, meningkatkan akses kepada utiliti dan pendidikan di kawasan pedalaman, dan menyegerakan pembinaan dan penaiktarafan jalan raya terutamanya Lebuhraya Pan-Borneo.

Pakatan Rakyat juga komited untuk menggalakan lebih penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi dan kepimpinan seperti penubuhan Dana Sumbangan Wanita Malaysia; golongan OKU bakal menerima kenaikkan elaun sara hidup kepada RM500 sebulan bagi OKU yang bekerja dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,200 dan peruntukan khas bulanan bagi Orang dengan Ketidakupayaan Teruk dengan maksimum RM1,000 manakala nasib orang asal akan lebih terbela dengan pelaksanaan cadangan dalam Laporan SUHAKAM mengenai hak-hak tanah orang asal.

Jawatankuasa Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat

Posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Pakatan Rakyat, Politik, Sosial | Tagged , , , | Tinggalkan komen