Dari Meja Presiden : Memang lidah tidak bertulang

Maafkan kami…
Maafkan kami…
Maafkan kami…

Berulang-ulang bait seni kata itu didendang tiga bujang lapuk seperti yang selalu kita tonton dalam filem Bujang Lapuk arahan Allahyarham P Ramlee.

Apabila membuat lawatan ke Selangor bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa pemerintah Umno-BN memang pernah melakukan kesilapan di negeri itu. Di Kedah, dalam lawatan pada awal Mac, PM menyatakan perkara sama. Apakah sepanjang lebih 50 tahun memerintah, partinya itu hanya melakukan kesilapan di Selangor dan Kedah sahaja?

Ketika pemimpin tertinggi negara merintih simpati daripada rakyat, syarikat penerbangan nasional, MAS direkod mencatat kerugian besar melebihi RM2.5 bilion. Jika dilakukan perbandingan, angka kerugian MAS itu adalah lebih besar berbanding dengan belanjawan negeri termaju seperti Selangor sekalipun!

MAS dahulunya adalah syarikat yang tergabung bersama Singapore Airline (SIA) keduanya terpisah selepas Singapura keluar daripada Malaysia. Hari ini SIA terus mencatat keuntungan besar tahun demi tahun sementara MAS pula sebaliknya.

Nampaknya bukan cuma MAS, satu lagi syarikat kaitan kerajaan (GLC), Proton juga merekodkan kerugian sebanyak lebih RM80 juta.

Rekod kewangan yang buruk dua GLC berkenaan hanya satu daripada episod kerugian sekian banyak syarikat dan projek kerajaan sebelum ini seperti syarikat perkapalan MSC, syarikat besi nasional Perwaja bahkan beberapa saham amanah di peringkat negeri-negeri.

Nah! Kenyataan ini adalah sebahagian bukti bahawa pemerintah Umno-BN bukan hanya telah melakukan kesilapan dan dosa di Selangor dan Kedah sahaja. Parti yang sekian lama memerintah itu juga telah melakukan kesilapan di seluruh negara. Namun, saya tidak fikir PM akan berani menyatakan kenyataan ini.

Lebih-lebih lagi apabila isu “lembu-kondo” telah menyelongkar satu lagi wajah sebenar elit parti pemerintah. Projek dengan dana RM250 juta, yang begitu penting untuk kepentingan negara diserahkan kepada syarikat yang terkait dengan seorang menteri. Kini rakyat tahu, syarikat berkenaan langsung tidak ada pengalaman di dalam mengurus dan pengendali projek berkaitan penternakan lembu.

Sudahnya, dana yang besar itu digunakan untuk pelaburan-pelaburan yang tiada kaitan langsung dengan projek penternakan lembu. Keluarga menteri hidup bermegah-megah daripada miliki kereta mewah, kondominium termahal sehinggalah membuka pusat beli-belah di luar negeri. Cukup mendukacitakan apabila syarikat yang punya kaitan terus dengan kepentingan rakyat seperti anak syarikat Felda telah diketepi.

Persoalannya, apakah dengan menyatakan bahawa kerajaan dan partinya pernah melakukan kesilapan di Selangor dan Kedah, kesemua kerugian besar berbilion ringgit itu boleh ditebus? Begitu mudahkah untuk meraih undi dengan hanya mengakui kesilapan semata-mata? Sungguh kata orang tua-tua, memang lidah tidak bertulang.

Sekiranya kesalahan sebegini besar dilakukan oleh pemimpin di negara-negara maju, mereka tidak akan tunggu untuk sampai ke tarikh pilihanraya untuk mengakui kesalahannya. Mereka akan segera meletakkan jawatan dan siap untuk diseret ke mahkamah.

Kematangan politik sebegini tidak berlaku di Malaysia. Tidak berlaku di bawah budaya Umno-BN yang sudah memerintah sekian lama. Pemimpinnya mengakui kesalahan selepas diasak dan tidak tertanggung dengan maklumat yang sampai ke telinga rakyat. Hanya sekadar kata-kata tanpa tindakan untuk membawa setiap masalah ke muka pengadilan sedangkan rakyat telah jelas nyata dikhianati dan terpaksa menanggung bencana.

Pakatan Rakyat bertekad membawa sinar baru apabila matahari terbit selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. Tidak perlu ada peluang sekian kali kepada sebuah parti yang mengakui kesalahan hanya sebagai jalan pintas melepaskan diri daripada segala noda.

This entry was posted in Dari Meja Presiden. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s