Pembebasan Sdr Anwar, terima kasih rakyat Malaysia!

Semalam , tanggal 9 Januari 2012 adalah suatu detik sejarah baru untuk Malaysia. Suatu peristiwa yang pastinya menggamit jutaan memori perjuangan rakyat yang berlanjutan hampir 14 tahun lamanya.

Seawal pagi lagi, ribuan pendokong dan penyokong keadilan sudah berada di perkarangan letak kereta di Mahkamah Tinggi Jalan Duta menanti kehadiraan Sdr Anwar dan saya serta keluarga. Ini sungguh memberikan semangat dan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk mendepani dengan apa jua keputusan hakim mengenai kes fitnah 2 ini yang berlarutan.

Alhamdulillah, dengan berkat doa, usaha dan tawakkal selama ini, mahkamah telah memutuskan bahawa Sdr Anwar dibebaskan dari segala pertuduhan yang difitnah kepada beliau. Tatkala ini, adalah satu saat dan memori yang paling indah bagi keluarga kami. Segala syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T.

Justeru, saya dan keluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga selama ini dengan sokongan dan kesabaran yang menambahkan semangan perjuangan kami untuk membela kebenaran Sdr Anwar. Segala pengorbanan rakyat selama ini, didoakan agar menjadi saksi perjuangan menentang kezaliman, kerana Rasulullah S.A.W. bersabda: “Jihad yang paling utama adalah kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim.” (HR Ahmad)

Maka, jelaslah sekarang kebenaran itu adalah hak bagi kita semua yang dizalimi. Insya Allah, kebangkitan rakyat khususnya golongan muda akan menggerakkan zaman demi kesuburan demokrasi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

Posted in Demokrasi, KEADILAN | 6 Komen

Wan Azizah: KAU makbulkan munajat kami

Sinar Harian

SHAH ALAM – Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada petuduhan liwat sudah diketahui umum. Bagaimana pula dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Apa cerita di sebalik khabar gembira tersebut. Sinar Harian membawa pembaca menyelami rasa hatinya. Ikuti wawancara eksklusif Editor Sinar Harian, MAZLINDA MOHD NOR bersama Wan Azizah.

ABANG Nuar sudah siap berpaka-ian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplemen yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?

“Ya RABB. Jauhilah kami dari berita duka itu.”

Abang Nuar seperti dapat membaca kata hati saya.

“Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama.”

Abang Nuar tenang. Saya semakin pilu.

Sudah banyak dugaan yang kami lalui sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecil saya. Amat berat.

Namun saya tetap yakin, ALLAH menduga setakat mampu umatnya.

“Ya RAHMAN… jika ini laluan yang ENGKAU tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan.”

Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh.

Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati TUHAN. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan.

“Ya AZIZ… Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan. Ya JALIL… berilah kami kemuliaan.

Anak-anak dan menantu semua sudah sedia.

Ini juga kebesaran TUHAN. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu.

Mata anak-anak pula saya tatap. Satu persatu, silih berganti.

Ya mereka tenang. Mahu melangkah keluar meneman ayah tersayang tanpa garis-garis kedukaan.

Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama.

Malam tadi, pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sudah bertemu pagi. Kami kelaparan. Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.

Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?

“Ya RAHMAN… Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan Ya RABB. Jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!”

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, saya tidak pernah berhenti berdoa. Moga apa yang bermain di fikiran TUHAN akan terbalikkan.

Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sudah penuh dengan manusia. Saya terasa gementar. Namun saya mesti kuat. Kami sudah menghampiri bangunan yang akan menentukan nasib Abang Nuar hari ini. Jadi kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.

Melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hati saya kembali tidak keruan. Mula berbolak-balik. Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?

Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah… walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

“Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan.”

“Ya ALLAH… rahmat apakah yang KAU berikan kepada kami.

“Ya SAMIE’…terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini.”

Abang Nuar bebas!

Saya menangis. Anak-anak menangis.

Saya merangkul erat Abang Nuar. Abang Nuar membalas kejap. Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada ALLAH.

Saya perhati anak-anak. Mereka juga berpelukan.

Saat ini terasa lerai derita dari tubuh. Lerai sengsara dari jiwa.

‘Ya ‘ALIEM…ENGKAULAH yang lebih mengetahui.

“Ya HAKIM… ENGKAULAH sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu.

“Syukur Ya ALLAH kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira.”

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Segambut. Menunaikan solat Syukur tanda terima kasih kepada TUHAN.

Hari ini dada kami sudah lapang. Senyum kami masih bersisa walau tangis misih ada.

“Terima kasih Ya ALLAH. KAU jawab munajat kami, KAU lerai derita kami.”

Posted in Dari Meja Presiden, Demokrasi, KEADILAN, Politik | 4 Komen

Pembebasan Anwar: Azizah: Terlerai derita dari tubuh dan jiwanya

The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Malaysia dikejutkan dengan berita Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebas dan dilepaskan mahkamah semalam daripada pertuduhan meliwat Saiful Bukhari.

Namun begitu, bagaimana pula perasaan insan yang paling dekat dengan Anwar, menghadapi saat-saat penentuan tersebut, saat penentu untuk keluarga mereka.

Di sebalik kegembiraan penyokongnya terhadap pembebasan Anwar, tiada yang terfikir perasaan seorang wanita yang bergelar isteri kepada Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Editor Sinar Harian, Mazlinda Mohd Nor dalam satu temuramah eksklusif telah mengungkap perasaan wanita tabah itu di sebalik khabar gembira tersebut.

Dalam temuramah tersebut, Azizah menceritakan saat-saat di pagi Anwar akan menghadapi keputusan liwatnya di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur 9 Januari-semalam-detik ketika Anwar bersiap untuk ke mahkmah dan sayu seorang isteri-yang mungkin tidak berkesempatan untuk bersarapan bersama selepas itu.

“Abang Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplement yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?”

Hati Azizah (gambar) seakan tidak tenang dalam menghadapi berita yang mungkin mendukacitakan buat keluarganya.

“Ya Tuhan. Jauhilah kami dari berita duka itu.”

Namun begitu, sebagai seorang suami, Anwar seperti memahami garisan wajah di muka Azizah.

“Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama,” kata Anwar Ibrahim kepada Azizah, di pagi penentuan segala-galanya buat keluarga itu.

Keluarga mereka sudah terlalu banyak menerima dugaan sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecilnya.

Namun Azizah tetap yakin, Allah hanya menduga umatnya setakat mana umatnya itu mampu untuk menahan dugaan tersebut.

“Ya Rahman … jika ini laluan yang Engkau tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan.”

Hidup keluarga pasangan Azizah dan Anwar telah teruji sejak dua setengah tahun lalu, ibarat seperti mati perlahan-lahan menurut Azizah.

“ Fitnah memang racun yang membunuh”

“Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati Tuhan. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan,” kata Azizah.

“Ya Allah … Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan, berilah kami kemuliaan.

Disebalik kepasrahan menghadapi segala kemungkinan itu, Azizah dikuatkan semangat dengan kehadiran semua anak dan menantunya yang sudah bersiap sedia menghadapi detik 9 Januari 2012.

“Ini juga kebesaran Tuhan. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu”.

Anak-anaknya tenang keluar menemani ayah mereka untuk keputusan mahkamah tersebut.

“Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama”.

Hatinya terkenang saat pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sebelumnya. Mereka kelaparan dan menikmati juadah sekeluarga di rumah.

“Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.”

“Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?”

“Ya Rahman … Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan, jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!”

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, Azizah tidak pernah berhenti berdoa. Dia mengharapkan kemungkinan yang bermain di fikirannya akan menjadi suatu kejutan atas kekuasaan Tuhan.

Sampainya di kawasan Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta, ia sudah penuh dengan manusia. Azizah mengakui dirinya gementar melihat keadaan itu.

Namun dia bulatkan tekad dan menghampiri bangunan yang mungkin bakal mengubah nasib keluarganya sekali lagi selepas 1998.

“Kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.”

Namun begitu, hatinya berbolak-balik dan menjadi tidak keruan apabila melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

“Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?” Persoalan itu bermain di benaknya.

“Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah… walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.”

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

“Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan.” Kata Hakim yang membacakan keputusan kes.

Azizah bersyukur apabila hakim membacakan keputusan yang memberi makna yang paling besar dalam hidupnya.

“Ya Allah… rahmat apakah yang Engkau berikan kepada kami, terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini.”

“Abang Nuar bebas!”

Waktu itu, jelas Azizah, seisi keluarganya termasuk anak-anak dan menantunya menangis kesyukuran.

Dia memeluk erat tubuh suaminya dan dibalas dengan pelukan yang kejap.

“Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada Allah”

Saat itu, Azizah terasa segala derita dan sengsaranya bagai terlerai dari tubuh dan jiwanya.

“Ya Allah, Engkaulah sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu, dan lebih mengetahui”.

“Syukur Ya Allah kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira.”

Tambah Azizah, dalam perjalanan pulang dari mahkamah, mereka singgah di Masjid Segambut untuk menunaikan solat Syukur tanda terima kasih dan bersyukur kepada Allah di atas pembebasan Anwar.

Dadanya terasa lapang dan lega terhadap pembebasan Anwar hari itu.

“Terima kasih Ya Allah, Engkau jawab munajat kami, Engkau lerai derita kami.”

Posted in Dari Meja Presiden, Demokrasi, Sosial | Tinggalkan komen

Anwar Bebas: Dedah bukti Konspirasi kotor Umno/BN

 

KOMENTAR : Keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan sebentar tadi memberi kesan yang amat besar terhadap masa depan Pakatan Rakyat membabitkan kesedaran rakyat berhubung budaya jijik musuh-musuh politik beliau.

Membebaskan Anwar dari hukuman penjara juga memberikan persepsi bahawa segala konspirasi untuk menfitnah dan mengaibkan beliau selama ini telah gagal.

Keputusan tersebut sekali gus menunjukkan Anwar adalah seorang yang bersih. Manakala pelbagai deretan konspirasi untuk mengaibkan beliau selama ini adalah rekaan yang sengaja direkacipta oleh musuh-musuh politik Anwar.

Di mata rakyat pula, pembebasan Anwar akan memperjelaskan lagi bahawa Anwar tidak bersalah. Di masa yang sama rakyat akan mengutuk pelbagai ‘adegan’ samaada pertuduhan yang disabitkan dengan Saiful Bukhari Azlan atau filem prono yang dikaitkan dengan ‘skuad’ trio Datuk ‘T’ sebelum ini.

Kesimpulannya, Pembebasan bukan hanya sekadar kemenangan besar terhadap personaliti Anwar sahaja malah kepimpinan serta parti yang beliau wakili turut mendapat kemenangan saikologi.

Atau dalam lain perkataan, seluruh rakyat akan percaya bahawa segala tindak tanduk selama ini adalah perancangan yang sengaja di atur oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN untuk mengenakan Anwar.

Secara terus, keputusan pembebasan Anwar mengheret pencemaran yang lebih kronik kepada musuh-musuh politik beliau yang terdiri dari pemimpin-pemimpin Umno/BN.

Daya tahan pemimpin ulung

Pembicaraan selama 87 hari sejak 2008 merupakan suatu tempoh yang memenatkan bukan sahaja dari kudrat tenaganya tetapi lebih perit kepada tekanan mental mereka yang cuba disabitkan kesalahan.

Inilah realiti yang telah di lalui oleh Anwar. Konspirasi fitnah 1 yang ditempuh ketika era Dr Mahathir dan disambung pula ketika era Najib telah memberi pengalaman dan kekentalan yang bukan sedikit.

Sebagai seorang ahli politik, ketua pembangkang dan pemimpin komponen pakatan Rakyat untuk menyongsong diri dan membawa muka keseluruh ceruk rantau disaat beliau diaibkan oleh musuh serta media bukan sesuatu yang mudah.

Segala penghinaan tersebut telah dibawa dan diterima oleh Anwar.

Pengorbanan Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, isteri Anwar ketika berucap malam tadi di Kampong Baru Kuala Lumpur berkata bahawa beliau terpaksa menerima hakikat bahawa Anwar bukan sahaja milik beliau malah milik seluruh rakyat yang cintakan keadilan.

Katanya, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa samaada Anwar di penjara atau dibebaskan bukan persoalannya. Beliau telah berpengalaman menanggung beban selama 13 tahun hidup bersama Anwar yang tidak henti-henti difitnah dengan pelbagai konspirasi.

“Saya rela biarkan Anwar di penjara sekiranya perjuangan beliau tersebut untuk membela keadilan untuk semua rakyat negara ini. Biarlah saya, anak-anak dan Anwar menjadi korban asalkan rakyat sedar dan bangun menghancurkan segala kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah yang zalim.

“Andai kesabaran dan pengorbanan ini yang perlu saya bayar maka inilah yang saya akan lakukan.”

Gelombang kebangkitan Rakyat

Mungkin hari ini, esok dan beberapa hari ini pemimpin-pemimpin Umno/BN akan mengeluarkan kenyataan bahawa pembebasan Anwar membuktikan kerajaan tidak campurtangan atau mempengaruhi institusi kehakiman negara sebagimana sangkaan pembangkang.

Mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula akan berkata pembebasan Anwar juga membuktikan tranformasi yang sedang beliau lakukan dalam negara termasuk dalam bidang kehakiman telah terbukti dan tidak memilih bulu.

Skrip-skrip inilah yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN sejak 54 tahun menguasai negara apabila sesuatu isu yang tidak memihak kepada mereka.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu ketika berucap dipentas yang sama bersama wan Azizah malam tadi berkata sejak kebelakangan ini media kerajaan memainkan isu berhubung siapa pemimpin pembangkang yang layak menjadi perdana menteri.

“Ini bukti jelas bahawa pemimpin serta media milik Umno/BN sendiri tidak yakin lagi untuk menang dalam pilihanraya akan datang. Sedangkan dalam pilihanraya sebelum ini isu ini tidak pernah timbul.

“Ini juga bukti bahawa kita penuh yakin pilihanraya akan datang pakatan Rakyat akan tawan Putrajaya kerana kebangkitan rakyat sudah tidak boleh dihalang lagi,” katanya dihadapan lebih 5,000 penyokong.

Kenyataan beliau sememangnya ada kebenarannya. Ini memandangkan ramai pengundi senyap yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan sudah berani menyokong PR. Pendedahan pelbagai transaksi dan lapuran-lapuran kewangan yang diserahkan kepada pemimpin PR supaya didedahkan kepada pengetahuan rakyat membuktikan rakyat sudah benci kepada pemimpin-pemimpin korap.

persoalannya apakah dengan pelbagai pendedahan berhubung isu NFC, PKFZ dan sebaginya oleh kakitangan kerajaan membuktikan kejayaan tranformasi Najib.

Apakah dengan tertawannya lima negeri kepada PR membuktikan Umno/BN berjaya membela nasib rakyat sehingga akhirnya rakyat menolak mereka.

Seharusnya sikap ‘syok sendiri’ dikalangan pemimpin Umno/BN ini dibiarkan berterusan.

Kita tidak boleh menolak bahawa keputusan yang diputuskan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah juga kesan dari kesedaran oleh para hakim sendiri untuk memastikan integriti kehakiman negara dihancurkan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Sekiranya rakyat berani berarak dijalanan dan tidak takut dengan ugutan maka mustahil para hakim yang pintar, bijak dan mampu menilai kebaikan disebalik melaksanakan proses keadilan itu tidak sanggup untuk berubah.

Keberanian para hakim ini didorong oleh kebangkitan rakyat yang mahu memastikan negara ini berdaulat melalui perlaksanaan sistem pengadilan yang berteraskan keadilan dan kebenaran.

Ramai yang percaya sekiranya hakim Datuk Mohamad Zabidin dipecat atau diperlakukan sesuatu oleh pemimpin-pemimpin Umno ekoran keputusan membebaskan Anwar, rakyat akan membela mereka.

Kebangkitan rakyat diseluruh dunia akan meletakkan paksi kebenaran, keberanian dan keadilan sebagai simbol yang akan diberi dokongan dan idola kepimpinan.

Selain Anwar telah wujud nama-nama seperti Adam Adli yang dilihat sebagai simbol perjuangan mahasiawa membebaskan diri dari cengkaman AUKU.

Atau dalam kata lain. sesiapa sahaja yang menjadi musuh kepada Umno/BN akan dianggap wira oleh rakyat. Inilah gerakan yang sedang bertiup di negara ini. Hinggakan segala kepincangan kerajaan terbocor satu demi satu kepada rakyat.

Siapa Perdana Menteri terjawab

Polimik berhubung siapa perdana Menteri sekiranya Anwar di penjara bermula dengan mainan politik murahan pemimpin-pemimpin serta media milik mereka yang cuba memecahbelah parti-parti komponen pakatan Rakyat.

Mereka sedar Anwar adalah ‘pengikat’ kepada PAS-DAP dalam PR. Tanpa Anwar kewujudan PR tidak akan menjadi realiti. Dalam kebanyakan mesyuarat pimpinan tertingi PR, Anwarlah yang menjadi pengerusinya.

Andai Anwar dipenjara maka hilanglah meteri pengikatnya. Lalu isu siapa perdana menteri apabila ketiadaan Anwar sengaja dimainkan dengan harapan ia sebagai cubaan melaga-lagakan antara PAS dan DAP.

DAP telah mengistiharkan semasa konvensyen parti itu semalam bahawa DAP akan tetap meletakkan Anwar sebagai perdana menteri walaupun beliau dipenjara.

Manakala PAS pula bersetuju untuk meletakkan perdana menteri sementara bagi membolehkan Anwar dibebaskan.

Akhirnya dengan pembebasan Anwar maka secara tidak langsung isu yang cuba diketangahkan itu mematikan harapan strategi pecah perintah yang dilakukan kepada kepada pembangkang selama ini.

Himpunan Aman

Berdasarkan kepada laporan beberapa wartawan TVSelangor yang berada disekitar kawasan mahkamah jalan Duta hari ini ada memaklumkan berlaku satu letupan yang mencederakan dua orang.

Letupan itu didakwa berlaku berhampiran sebuah kereta sejurus selepas hakim memutuskan pembebasan Anwar.

Manakala sebelum keputusan tersebut diputuskan berlaku suasan tegang antara orang yang memberi sokongan kepada Anwar dengan kumpulan Saiful yang terdiri dari anggota Perkasa dan Pekida.

Sementara itu sejak semalam Perkasa dan Pekida pula mengadakan majlis Qiamulai di Masjid Wilayah persekutuan berdekatan dengan bangunan mahkamah Jalan Duta.

Namun dengan kerjasana pihak polis dan Skuad marshal AMK keadaan tersebut terkawal.

Masej dari perhimpunan aman tersebut amat besar ertinya. Sebagaimana berlaku dalam himpunan aman yang dianjurkan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sekiranya tanpa sabotaj dari mana-mana pihak.

Bimbang dan takut untuk menyaksikan himpunan yang besar adalah dari pemimpin-pemimpin Umno/BN kerana himpunan yang besar akan memberikan sokongan yang besar terhadap penganjurnya.

Masej ini yang cuba dihindarkan oleh pemimpin-pemimpin tersebut dengan memperkuda institusi polis. Sedangkan sekiranya Umno/BN pula dibenarkan menganjurkan pelbagai perhimpunan seperti himpunan sejuta belia, himpunan sejuta umat dan perayaan hari kemerdekaan atau perarakan maulidurrasul.

Begitu juga malam sambutan tahun baru yang dibanjiri oleh ribuan rakyat ke bandar-bandar yang tidak menimbulkan sebarang ancaman walaupun tidak diberi permit.

Perhimpunan aman yang berlangsung membuktikan tanpa provokasi dari mana-mana pihak akan menghasilkan himpunan yang aman.

Apa pun pembebasan Anwar hari ini akan membuka ruang yang lebih luas bagi PR menghadapi PRU13 akan datang dalam usaha menyelusuri laluan menuju ke Putrajaya.

 

 


 

Posted in Demokrasi, KEADILAN | Tinggalkan komen

Pembebasan DSAI: Perbaharui Komitmen Ke Arah Malaysia Yg Lebih Adil

AIC23

KENYATAAN MEDIA 

Pembebasan DSAI: Ayuh Perbaharui Komitmen Ke Arah Malaysia Yang Lebih Adil

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) merakamkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya, keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diputuskan tidak bersalah.

Keputusan ini – yang diakui sedikit mengejutkan – membuktikan bahawa segala fakta-fakta perundangan yang telah dikemukakan oleh pasukan peguam pembela Datuk Seri Anwar berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah sehingga gagal disanggah oleh pasukan pendakwaraya.

Walaupun mahkamah membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar, AIC melihat ini bukanlah bermakna sistem kehakiman Malaysia sudah bebas sepenuhnya. Malah, AIC berpandangan sekiranya sistem kehakiman Malaysia mempunyai integriti yang tinggi, kes ini sewajarnya dibuang lama dahulu kerana kes yang dibawa pendakwa adalah kes yang rapuh dan tidak kredibel sama sekali.

Dalam masa yang sama, AIC berharap agar pihak berkuasa boleh bertindak untuk mengekang sebarang bentuk fitnah yang disasar ke atas Datuk Seri Anwar. Tidak perlu ada kompromi dalam hal ini, tanpa mengira sasaran, budaya fitnah harus dikekang dan dihentikan sepenuhnya.

Segala kemungkinan akan dihadapi, dan sokongan generasi muda sentiasa tidak putus ke atas Datuk Seri Anwar dengan agenda merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

Tanggal 9 Januari harus menjadi satu permulaan baru untuk rakyat Malaysia, memperbaharui azam dan tekad untuk mengeluarkan Malaysia dari gejolak rasuah, salahguna kuasa dan sistem tadbirurus negara yang lompong. Perubahan yang dituntut, melangkaui perbezaan agama, ideologi dan kaum: ianya untuk masa depan generasi muda Malaysia pastinya.

GENERASI PENGGERAK ZAMAN

Julailey Jemadi

Kelab Anwar Ibrahim (AIC)

Malaysia

Posted in Antarabangsa, Demokrasi, KEADILAN, Politik, Sosial | Tinggalkan komen

TGNA bersyukur kepada Allah, DSAI dibebaskan

Posted in Demokrasi, KEADILAN | Tinggalkan komen

AMK: Tangkap pihak terlibat insiden letupan

KUALA LUMPUR 10 Jan: Angkatan Muda KEADILAN menggesa pihak polis bertindak segera ekoran insiden letupan di Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta semalam, kata ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut Shamsul, adalah aneh apabila pihak tidak bertanggungjawab berani melakukan perancangan tersebut, sedangkan kompleks mahkamah itu diiktiraf antara kawasan paling selamat di Malaysia.

Justeru itu katanya, AMK mendesak pihak polis menangkap mana-mana individu yang disyaki terlibat dengan insiden itu, yang menyebabkan lima cedera dan beberapa kenderaan rosak.

“AMK percaya dengan kawalan rapi pihak polis, termasuk dengan fasiliti lengkap CCTV di sekitar kawasan berkenaan, pihak tersebut boleh diberkas segera,” ujarnya.

Katanya lagi, AMK mengesyaki wujud unsur-unsur sabotaj yang mahu dilancarkan oleh pihak-pihak tertentu di sebalik perhimpunan aman yang dianjurkan oleh KEADILAN semalam.

“Berkemungkinan besar, letupan itu dirancang kerana mereka daripada awal mengesyaki Anwar didapati bersalah, maka imej KEADILAN akan dipalitkan kononnya ada cubaan menghuru-harakan situasi dan gagal mematuhi perjanjian awal antara pihak polis dan KEADILAN,” tegas Shamsul.

Tambahnya lagi, perancangan jahat mereka itu bagaimanapun terencat apabila mahkamah memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan dibebaskan daripada tuduhan.

Lantas, ujarnya letupan berskala kecil pula yang dilakukan hingga mengakibatkan berlaku kecelakaan pada beberapa individu dan harta awam.

“AMK menegaskan bahawa perancangan kotor dan jijik seumpama ini adalah perancangan yang bodoh dan merendahkan kredibiliti rakyat yang matang menilai.

“14 tahun cukup untuk mengajar rakyat bahawa sememangnya ada pihak yang cuba menjadi ‘api dalam sekam’, mengotorkan perjuangan murni rakyat menuntut keadilan dengan insiden-insiden yang tidak diingini,” sambungnya lagi.

Posted in Demokrasi, KEADILAN | Tagged | Tinggalkan komen

Hakim : Mahkamah Tidak Boleh Bergantung Kepada Keterangan Saiful

KUALA LUMPUR, 9 JAN :Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mendapati Anwar tidak bersalah di atas tuduhan itu di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Mahkamah tidak boleh 100% jamin integriti bekas yang simpan DNA,” kata Hakim Zabidin, dan menambah “Oleh itu mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti air mani.”

“Mahkamah hanya ada keterangan Saiful (saksi pertama). Mahkamah tidak boleh sabit kepada keterangan saksi pertama sahaja. Oleh itu, tertuduh dibebaskan,” katanya lagi.

Anwar dan Pakatan Rakyat menganggap tuduhan itu sebagai konspirasi oleh Barisan Nasional untuk menamatkan karier politiknya setelah Pakatan menakluk lima negeri dalam pilihanraya Mac 2008.

Kes ini membuka tirai sejak laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari pada 28 Jun 2008 dan pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 7 Ogos 2008.

Perbicaraan kes yang mengambil masa hampir tiga tahun di tutup pada 15 Disember 2011.

Perbicaraan kes berprofil tinggi ini dikendalikan oleh hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pihak pendakwaraya diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden sementara Peguam Bela diketuai oleh Karpal Singh.

Anwar di tuduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Seksyen tersebut memperuntukan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Posted in Demokrasi, KEADILAN, Politik | Tinggalkan komen

Polis benarkan himpunan 901 di mahkamah- Azmin

Keadilandaily

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR 6 Dis : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali memberitahu, polis telah memberi kebenaran dan jaminan akan menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan yang bakal dianjurkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin depan.

“Kita telah bermuafakat dan bersetuju untuk meneruskan perhimpunan aman ini dengan beberapa perincian yang telah dibincang secara bersama,” kata Azmin selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu akan menerangkan secara terperinci mengenai rancangan dan keputusan yang telah dicapai untuk menjayakan perhimpunan pada 9 Januari itu, di Ibu Pejabat KEADILAN petang ini.

“Tempat telah ditetapkan, perhimpunan akan diteruskan. Keputusannya positif dan saya gembira dengan polis tadi menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti politik khususnya pakatan rakyat,” katanya.

Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin menerusi laman twitter beliau, pihak polis membenarkan ruang perkarangan kawasan letak kereta berhadapan dengan mahkamah untuk berhimpun.

Satu sidang tergempar bersama pimpinan KEADILAN akan diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya 3.30 petang ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyatakan, pihaknya tidak akan mengharamkan himpunan berkenaan, sebaliknya mencadangkan supaya kawasan yang sesuai.

Azmin Ali bersama-sama dalam sidang media Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh di IPK tadi.

Terdahulu, , turut hadir pada pertemuan tersebut beberapa pimpinan KEADILAN termasuk ketua Wanita,  Zuraida Kamarudin, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan juga Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran.

Pertemuan itu dibuat selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Ketua Polis Negara menyarankan agar Ketua Polis Kuala Lumpur bertemu penganjur bagi membincangkan perkara tersebut.

Posted in Demokrasi, KEADILAN, Kenyataan Media, Pakatan Rakyat | Tinggalkan komen

Surat Terbuka Mat Zain Ibrahim kpd KPN

Mat Zain bin Ibrahim,

Kepada,

YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, IG,

Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
iho@rmp.gov.my

12hb.September 2011,

Assalamualaikum wbt.

KENYATAAN TERTUDUH-BENARKAH ANWAR DIANIAYA

1. Beberapa pihak telah memberikan pendapat berkaitan tindakan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) membuat kenyataan pembelaan diri dalam perbicaraan kes Sodomy II dari kandang tertuduh pada 22.08.2011 yang lalu. Setiap seorang termasuk saya,adalah berhak keatas pendapat masing-masing.

2. Membuat kenyataan dari kandang tertuduh( Kenyataan Tertuduh) adalah salah satu dari tiga opsyen yang dibenarkan olih undang-undang kepada seorang Tertuduh. Olih yang demikian, tidak timbul sama ada Anwar telah melakukan suatu kesalahan dari sudut undang-undang atau sebaliknya. Beliau pasti telah diberi nasihat berkaitan konsekuen atau faedahnya memilih opsyen tersebut.

3. Pada pendapat saya, perkara yang sepatutnya dititikberatkan ialah samada ada keseluruhan kandungan Kenyataan Tertuduh itu adalah benar atau terdapat diantaranya, penegasan yang direka atau palsu. Kedapatan Anwar turut membuat dakwaan salahlaku jenayah yang spesifik, terhadap beberapa individu yang dinamakan dengan jelas. Apa pun opsyen yang dipilih, beliau telah mengemukakan kenyataan tersebut dihadapan seorang Hakim dalam suatu prosiding terbuka. Anwar tetap tertakluk kepada pendakwaan jenayah, sekiranya beliau dibuktikan telah membuat kenyataan yang direka atau palsu.

4. Dalam mengulas isu ini,saya memilih untuk menumpukan perhatian kepada beberapa perenggan Kenyataan Tertuduh seperti berikut:-

4.1. Dakwaan spesifik terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail(Gani Patail),Tan Sri Musa Hassan (Musa Hassan) dan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (Yusof) dalam peristiwa tahun 1998. Khususnya berkaitan mereka atau memberi keterangan palsu serta dakwaan “cover-up” dalam penyiasatan melibatkan Anwar. Termasuk tetapi tidak terhad kepada insiden mata-lebam.

4.2. Dakwaan berkaitan keterangan Forensik dan DNA.

4.3. Dakwaan keterlibatan dan salahguna kuasa mantan Perdana Menteri dalam penyiasatan melibatkan Anwar.

5. Saya mendapati hampir keseluruhan Kenyataan Tertuduh itu adalah merupakan “kenyataan ulangan untuk menyegarkan ingatan”.Dakwaan-dakwaan yang Anwar lontarkan terhadap mantan Perdana Menteri Y.A.Bhg. Tun Mahathir Mohamed, Gani Patail, Musa Hassan dan beberapa yang lain, termasuk terhadap Jabatan Peguam Negara dan Polis, bukanlah perkara baru.Beliau pernah membuat kenyataan secara rasmi pada 3.3.1999 ketika prosiding Suruhanjaya Di-Raja siasatan insiden mata-lebam diadakan.Bagaimanapun dakwaan-dakwaan berkenaan tidak dicabar olih mana-mana pihak, walaupun daripada Gani Patail atau Musa Hassan sendiri.

5.1. Selanjutnya,dakwaan salahlaku jenayah secara lebih spesifik terhadap Gani Patail,Musa Hassan dan Yusof telah beliau kemukakan kepada Mahkamah dalam beberapa afidavit yang telah difailkan sejak 2008 ketika perbicaraan masih diperingkat Mahkamah Sesyen lagi.

5.2. Selain afidavit, Anwar juga telah membuat beberapa laporan Polis terhadap Gani Patail,Musa Hassan serta beberapa Timbalan Pendakwa Raya.Laporan-laporan berkenaan kesemuanya berkisar kepada dakwaan mereka keterangan atau membuat afidavit palsu.

6. Olih hal yang demikian, isu beliau membuat Kenyataan Tertuduh sedemikian, sebagai helah untuk mengelakkan diri daripada disoal balas olih Pasukan Pendakwaan, pada pendapat saya tidak tepat untuk dipersoalkan.

6.1. Malahan,Pasukan Pendakwaan atau sesiapa juga yang telah didakwa dalam afidavit atau laporan Polis berkenaan, bolih membuat aduan terhadap Anwar jika terbukti beliau telah mengikrarkan afidavit atau membuat laporan Polis palsu.Bagaimanapun sejak 1998 lagi, Gani Patail dan Musa Hassan tidak mengambil tindakan sedemikian.

7. Peraturan Mahkamah Tinggi berkaitan penegasan dalam sesuatu afidavit adalah jelas. Banyak case laws yang bolih dijadikan teladan. Antaranya dalam kes Sunrise Sdn.Bhd. vs First People (M) Sdn.Bhd & Anor [1996] 3 MLJ 533.Hakikatnya telah diterima olih Mahkamah bahawa, mana-mana penegasan mustahak dalam afidavit yang tidak dijawab atau dicabar hendaklah dianggap sebagai telah diakui kenyataan yang benar.

7.1. Contoh semasa yang terbaik ialah; dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu, bilamana Hakim telah membebaskan seorang tertuduh Abdul Razak Baginda tanpa dipanggil membela diri, semata-mata bersandarkan afidavit Razak yang tidak dicabar olih Pendakwa Raya.

GANI PATAIL DAN MUSA HASSAN

8. Berbalik kepada dakwaan-dakwaan spesifik terhadap beberapa individu dalam Kenyataan Tertuduh tersebut, kesimpulan saya adalah seperti berikut;

8.1. Dakwaan bahawa Gani Patail pada 26.10.1998 telah mengarahkan seorang Dr. Abdul Rahman Yusof (Dr. Rahman) untuk menyediakan satu laporan Forensik palsu berkaitan kecederaan yang Anwar alami dalam insiden mata lebam itu adalah betul.

Pemalsuan ini telah disusuli dengan 2 lagi pemalsuan olih Dr. Rahman yang dikatakan telah diarahkan sendiri olih Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara ketika itu, dalam bulan Disember 1998.

8.2. Dakwaan bahawa Musa Hassan telah bersubahat dengan memberi kemudahan kepada Gani Patail dan Dr.Rahman menyempurnakan pemalsuan-pemalsuan tersebut diatas juga adalah betul.

8.3. Fakta bahawa 2 (dua) daripada 3 (tiga) laporan forensic palsu tersebut telah dikemukakan dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja insiden mata-lebam yang bersidang diantara 22.2.1999 hingga 4.3.1999, juga adalah betul.

9. Apapun keadaannya, keujudan 3 laporan forensik olih Dr.Rahman itu sendiri, merupakan keterangan yang kukuh bagi membuktikan berlakunya perbuatan mereka keterangan palsu terhadap Anwar.Saya menekankan bahawa keterangan ini adalah lebih konklusif daripada keterangan DNA.

YUSOF

10. Dakwaan bahawa Yusof mengetahui keujudan ketiga-tiga laporan palsu tersebut dan penggunaanya dalam prosiding Suruhanjaya diatas, dalam sifat beliau sebagai wakil Peguam Negara sepanjang prosiding berkenaan, adalah berasas dan dipercayai betul.

10.1. Yusof sewajarnya mengistiharkan kepada Mahkamah, sama ada posisi beliau sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan kes Sodomi II berada dalam konflik dengan posisi beliau sebagai wakil Peguam Negara dalam prosiding Suruhanjaya mata-lebam. Situasi ini timbul, memandangkan isu Gani Patail dan Musa Hassan memalsukan keterangan dan menggunakannya dalam prosiding Suruhanjaya itu telah dibangkitkan sejak 1.7.2008.Ini disusuli pula dengan dakwaan menerusi afidavit-afidavit dalam pembicaraan Sodomi II. Yusof sendiri turut ditohmahkan sebagai telah menyembunyikan keterangan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan.

10.2. Hakikatnya tidak dapat dinafikan bahawa Yusof adalah seorang saksi yang mustahak kepada dakwaan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan yang telah dilaporkan olih Anwar pada 1.7.2008 itu, manakala pada masa yang sama juga, Yusof adalah Ketua Pasukan Pendakwaan dalam perbicaraan Sodomy II terhadap Anwar.

10.3. Yusof hanya perlu untuk mengesahkan sama ada benar atau tidak ujud 3 laporan forensic yang disediakan olih Dr. Rahman diatas arahan Gani Patail dan Peguam Negara dalam penyiasatan insiden mata-lebam itu. Yang lainnya adalah untuk Mahkamah memutuskan.

KETERANGAN FORENSIK DAN DNA

11. Dakwaan menerusi afidavit menyatakan Musa Hassan dan SAC Datuk Mohamad Rodwan Yusof (Rodwan) cuba mengambil tanpa kebenaran (“mencuri”) sample darah Anwar, daripada simpanan / kawalan seorang Dr.Zahari Noor pada 15.10.1998 untuk kegunaan ujian DNA adalah dipercayai betul. Dr.Zahari sendiri telah memberikan keterangan kearah demikian pada 30.12.1998 ketika perbicaraan Anwar dalam kes salahguna kuasa dihadapan Hakim Dato Augustine Paul (mendiang).

11.1. Setidak-tidaknya, Musa Hassan masih terhutang kepada rakyat jelata, untuk menjelaskan apakah keterangan yang beliau ada ketika memberi taklimat kepada Tun Mahathir ,sehinggakan mantan Perdana Menteri itu begitu yakin untuk mempercayai Anwar terlibat dengan aktibiti seks luar nikah dan homosexsual. Manakala beberapa bulan selepas itu pula, Musa Hassan terdesak untuk mengumpulkan keterangan lanjut berkaitan DNA, sehingga terpaksa mencuri sample darah tersebut.Walhal pada ketika itu, Anwar telahpun dituduh di-Mahkamah dan sedang menunggu tarikh perbicaraan. Sepatutnya proses pengumpulan keterangan asas telah selesai.

11.2. Musa Hassan juga patut jelaskan samada tindakan “mencuri” sample darah sebelum perbicaraan kes dimulakan itu, adalah dalam pengetahuan dan direstui olih Tun Mahathir atau sebaliknya. Ataupun tindakan itu adalah diatas inisiatif beliau sendiri semata-mata untuk menjustifikasikan taklimat meyakinkan yang beliau beri kepada Tun Mahathir beberapa bulan sebelum itu.

11.2.1.Fakta bahawa Musa Hassan telah menemui Dr. Zahari berkaitan sample darah Anwar untuk tujuan DNA pada 15.10.1998 itu sahaja, sudah memadai untuk membuat kesimpulan bahawa Musa Hassan TIDAK mempunyai keterangan yang lengkap ketika mentaklimatkan Tun Mahathir berkaitan Anwar beberapa lama sebelum itu.

11.2.2.Sila rujuk laporan lengkap dalam “surat tertutup” saya bertarikh 27.12.2010 dialamatkan kepada Tan Sri KPN, Solicitor General dan YAB Perdana Menteri berkaitan pemalsuan DNA ini.

DAKWAAN KETERLIBATAN TUN MAHATHIR

12. Menerusi Kenyataan Tertuduh dan afidavit-afidavit yang Anwar telah failkan sebelumnya,beliau telah mendakwa pada tahun 1998 Tun Mahathir telah menyalahgunakan kuasa beliau dalam memberi tekanan keatas Jabatan Kehakiman, Peguam Negara dan Polis sehingga mendapatkan beliau (Anwar) disabitkan dengan kesalahan yang beliau tidak pernah lakukan dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 15 tahun.

12.1. Saya menegaskan bahawa Anwar TIDAK mempunyai keterangan untuk mengaitkan Tun Mahathir dengan tindakan Gani Patail dan Musa Hassan dalam perbuatan merekacipta atau memberi keterangan palsu terhadap beliau (Anwar).

12.2. Sebaliknya, saya wajar menyatakan bahawa mengikut rekod rasmi dan apa yang tercatit diatas kertas dalam fail siasatan Polis, Tun Mahathir yang telah memberi nasihat dan amaran keras supaya tidak ada sebarang “cover-up” dilakukan dalam penyiasatan kes-kes melibatkan Anwar.

12.3. Nasihat dan amaran Tun Mahathir sedemikian itu telah saya rakamkan dalam diari penyiasatan kes mata-lebam pada 8.10.1998 setelah saya menemui beliau di-Jabatan Perdana Menteri yang dipanggil memberi taklimat kemajuan siasatan Polis dalam kes tersebut.

12.4. Nasihat dan arahan tersebut telah disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi PDRM pada hari yang sama dan kepada Gani Patail dua hari kemudian.Laporan secara bertulis menerusi kertas siasatan kes, disampaikan kepada Gani Patail pada 15.10.1998 yang diakui penerimaannya secara rasmi.

13. Olih yang demikian,berdasarkan keterangan yang ada,saya menegaskan, segala penipuan dan pemalsuan keatas Anwar telah dilakukan olih Gani Patail dan Musa Hassan dengan kehendak mereka sendiri untuk faedah masing-masing,melainkan mereka berdua bolih membuktikan terdapat ada pihak ketiga yang terlibat.

MENGENAI SABITAN SALAH DAN HUKUMAN PENJARA 15 TAHUN

14. Sejak 1998 lagi, Anwar secara konsisten mengekalkan pengakuan tidak bersalah sambil mendakwa, bahawa pertuduhan-pertuduhan salahguna kuasa dan liwat yang dikenakan terhadapnya adalah pertuduhan palsu dan berniat jahat dan suatu konspirasi nekad, untuk memusnahkan kerjaya poliktiknya. Beliau turut mendakwa bahawa sabitan salah dan hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan keatas diri beliau adalah suatu penganiayaan pihak Pemerintah keatas diri dan keluarga beliau.

15. Berdasarkan kepada keterangan dokumentari dan peristiwa-peistiwa penipuan dan pemalsuan yang dilakukan keatas diri beliau, yang bolih dan mampu dibuktikan, maka saya menyatakan bahawa dakwaan Anwar sedemikian itu adalah berasas dan mempunyai meritnya yang tersendiri.

15.1. Perbuatan “mencuri” sample darah Anwar untuk tujuan DNA olih Musa Hassan dan Rodwan telah dilakukan pada 15.10.1998. Manakala pemalsuan keterangan Forensic olih Dr.Rahman pula dilakukan pada 26.10.1998. Kedua-dua peristiwa yang berlaku, adalah diatas arahan dan atau/penyeliaan Gani Patail yang disempurnakan sebagai persediaan untuk keterangan tersebut digunakan terhadap Anwar, sebelum perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap beliau dimulakan pada 2.11.1998.

15.2. Tanpa perlu mengulangi secara detail peristiwa diatas,saya menyatakan bahawa kedua-dua kejadian tersebut adalah antara beberapa keterangan kukuh untuk membuktikan keujudan niat jahat (mala fide) dan sikap bias Gani Patail dan Musa Hassan dalam penyiasatan dan pendakwaan kes ini.

15.3. Walaupun Hakim mendiang Dato Augustine Paul menolak (expunged) keterangan DNA akibat penjelasan yang menimbulkan kecurigaan daripada Ahli Kimia Encik Lim Kong Boon, tidak bermakna bahawa perbuatan “mencuri” sample darah bagi tujuan DNA dan mereka keterangan palsu dalam perkara ini, terbatal sama sekali. Malah ianya mengukuhkan lagi dakwaan-dakwaan bahawa sample darah yang dicuri dari kawalan Dr.Zahari itu telah ditanam (planted) diatas “tilam masyhor” yang diusung turun-naik Mahkamah ketika perbicaraan.

15.4. Perbuatan Musa Hassan memberi keterangan palsu (“perjury”) dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, tiba-tiba terbongkar, apabila keterangan beliau berikan sendiri sebagai saksi PW75 dalam perbicaraan Kes Pendakwa Raya vs Ramli Yusuff di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, dibandingkan dengan keterangan yang beliau berikan dalam kes salahguna kuasa terhadap Anwar tahun 1998. Seorang Ahli Parlimen telah membuat laporan Polis terhadap Musa Hassan kerana melakukan kesalahan “perjury” ini dalam bulan Mac 2010, tetapi penyiasatannya disenyapkan begitu sahaja.

Analogi

16 Jika Musa Hassan dan Rodwan tidak pernah menemui Dr.Zahari berkaitan sample darah Anwar seperti yang dinyatakan diatas, maka Dr. Zahari Noor tidak akan memberikan keterangan sedemikian dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar dalam bulan Disember 1998. Rodwan juga tidak akan menyebut perkara DNA ini tanpa sebab dalam percakapan yang dirakamkan darinya pada 1.10.1998.

16.1. Jika Musa Hassan sememangnya seorang yang jujur, termasuk apabila memberi keterangan bersumpah,maka Hakim Supang Lian dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tidak akan melabelkan beliau sebagai seorang saksi yang tidak bolih dipercayai, dan kesaksiannya juga ditolak. Walhal beliau adalah seorang Ketua Polis Negara dan memakai pakaian seragam lengkap ketika memberikan keterangan tersebut. Pendek kata Hakim Supang Lian tidak akan membuat komen sedemikian melainkan beliau mempunyai keterangan yang kukuh.

16.2. Jika Musa Hassan tidak ada memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, dihadapan Hakim mendiang Dato Augustine Paul dalam tahun 1998, maka tidak akan ujud nota keterangan sedemikian yang bolih dibandingkan pula dengan nota keterangan beliau di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sebelas tahun kemudian.

16.3. Jika Musa Hassan tidak pernah memberi kemudahan dan membantu Gani Patail dalam membuat dan mereka keterangan-keterangan palsu dalam penyiasatan insiden mata-lebam tahun 1998, maka saya sendiri tidak akan merakamkan dalam diari penyiasatan saya ketika itu, mengenai peranan dan penglibatan beliau dan Gani Patail dalam salahlaku jenayah ini.

Memoirs

17. Jika Musa Hassan telah berjaya meyakinkan Tun Mahathir untuk mempercayai Anwar terlibat dalam aktibiti homosexsual,lantas beliau dipecat dan dikenakan beberapa pertuduhan jenayah sehingga disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, maka nota keterangan Musa Hassan berikan dalam perbicaraan salahguna kuasa terhadap Anwar itu sendiri, akhirnya telah membongkarkan segala pemalsuan dan penipuan lampau yang Musa Hassan telah lakukan.

17.1. Begitu juga apa yang berlaku keatas Gani Patail. Sungguhpun beliau berjaya meyakinkan Tun Mahathir dan Jemaah Menteri ketika itu,dengan memperkecilkan hasil penyiasatan Polis terhadap insiden mata-lebam, sehinggakan Jemaah Menteri percaya bahawa PDRM tidak telus dan professional dalam tugas mereka,lantas menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja penyiasatan pula. Maka keterangan-keterangan yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya itu sendiri,akhirnya telah mengesahkan segala pemalsuan dan penipuan yang Gani Patail telah lakukan.

17.2. Tanpa diduga 13 tahun kemudian,Tun Mahathir telah mengeluarkan memoirs beliau dalam “A Doctor in the House”, pada bulan Mac 2011. Secara sengaja atau kebetulan, memoirs Tun dalam membincangkan peristiwa mata-lebam dan dakwaan terhadap Anwar, sebaliknya telah mengukuhkan lagi keterangan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan pula.

17.2.1.Jika Tun Mahathir dalam memoirs sendiri telah berterus terang pernah tersalah anggap, bahawa kecederaan mata-lebam yang Anwar alami itu adalah dilakukannya sendiri (self-inflicted), hanya untuk kemudiannya sedar bahawa kecederaan tersebut akibat serangan mantan Ketua Polis Negara,maka Tun juga bolih tersalah anggap mengenai aktibiti homosexsual Anwar. Tun Mahathir tidak bolih mengenepikan kemungkinan beliau telah diperdayakan olih Musa Hassan dengan butir taklimat yang ditokok-tambah atau dimanipulasikan.

17.2.2.Menilai semula penglibatan Musa Hassan dalam peristiwa, yang ramai tidak menyangka beliau sanggup lakukan,iaitu, “mencuri” sample darah untuk tujuan DNA,bersubahat dengan Gani Patail dalam mereka 3 laporan Forensik palsu serta kemudiannya memberi keterangan palsu dalam perbicaraan melibatkan Anwar, yang kesemuanya berlaku selepas beliau memberikan taklimat kepada Tun, maka kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan menjadi lebih credible.

17.2.3.Saya menyatakan Tun sememangnya serius apabila beliau pada 8.10.1998 mengarahkan menerusi saya supaya tidak ada sebarang “cover-up” dalam penyiasatan kes-kes terhadap Anwar. Bagaimanapun Tun tidak mempunyai kawalan terhadap tingkahlaku Gani Patail dan Musa Hassan.

17.2.4.Tun Mahathir sendiri mengaku telah mengarahkan KPN supaya berhati-hati apabila menangani Anwar. Malah Tun (memberitahu saya ketika menemui beliau) telah meminta supaya Anwar tidak digari apabila ditangkap, jika bolih. Namun, Anwar tetap juga dibelasah olih mantan KPN tersebut sebaik ditangkap ketika kedua belah tangannya masih bergari.

Begitu juga keadaannya,walaupun Tun telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang “cover-up” terhadap kes-kes melibatkan Anwar, dan arahan tersebut telah saya sampaikan kepada mereka yang berkenaan,secara lisan dan bertulis, namun Tun tidak berupaya untuk menghalang Gani Patail dan Musa Hassan daripada melakukan pemalsuan dan penipuan keatas Anwar dibelakang beliau.

17.2.5.Sekiranya Gani Patail sanggup melibatkan diri melesapkan dokumen yang mengaitkan beliau dengan salahlaku jenayah, sebelum laporan Suruhanjaya Di-Raja mata-lebam dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong, maka apalah manipulasi keatas rakyat biasa kepada beliau.

17.2.6.Dengan berat hati saya menyatakan,bahawa terdapat beberapa kenyataan mustahak Tun dalam Chapter 53 “Doctor in the House”, khususnya menyentuh berkaitan siasatan kes mata-lebam dan tindak-tanduk Pendakwa Raya dalam perkara sama, adalah berbeza dengan fakta terkandung dalam fail siasatan rasmi yang dibuat pada 1998. Saya percaya pekara ini bolih berlaku akibat Tun telah diberikan maklumat atau taklimat yang telah dimanipulasikan dan mengelirukan.

Kesimpulan Perkara

18. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang tersebut diatas yang disokong dengan dokumen-dokumen dan keterangan yang ada dalam milik dan pengetahuan saya sendiri, saya berpendapat bahawa sabitan salah keatas Anwar dalam pertuduhan salahguna kuasa keatas beliau,telah diperolehi olih pihak Pendakwaan melalui jalan penipuan dan pemalsuan yang telah dilakukan dengan niat bersama olih Gani Patail dan Musa Hassan untuk faedah bersama mereka.

18.1. Tidak salah untuk menyatakan hukuman penjara yang Anwar telah lalui adalah penganiayaan terhadap beliau olih mereka berdua.

PENUTUP

19. Selain daripada diri saya sendiri, saya mendapat maklum terdapat sekurang-kurangnya dua lagi pihak yang pernah menemui Perdana Menteri, YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak (PM Najib), bertujuan menyarankan supaya sesuatu tindakan diambil terhadap Gani Patail dan Musa Hassan. Ini memandangkan salahlaku jenayah yang telah mereka lakukan, adalah sangat ketara dan telah membebankan Negara, selain daripada memusnahkan kepercayaan Rakyat terhadap Institusi-Institusi Kerajaan.

Saya mempunyai alasan untuk menyatakan, PM Najib turut sedar bahawa keterangan terhadap Gani Patail dan Musa Hassan adalah jelas dan kukuh. Malahan, tidak ada jalan keluar bagi mereka berdua.

Namun begitu, PM Najib nampaknya masih belum bersedia untuk melaksanakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri diatas sesuatu pertimbangan yang hanya beliau ketahui. Mungkin beliau sedang menunggu masa yang sesuai. Saya yakin PM Najib tidak akan timbulkan soal ketiadaan atau kekurangan keterangan terhadap mereka berdua.

20. Sebagai seorang yang terlibat secara langsung menangani isu-isu berkaitan Anwar sejak 1998, serta mempunyai pengalaman bersemuka dan berinteraksi dengan kesemua “pemain-pemain utama” perkara dalam persoalan ini,terutamanya Tun Mahathir sendiri, Gani Patail, Musa Hassan, Anwar Ibrahim, selain daripada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Suruhanjaya Di-Raja siasatan mata-lebam dan juga PM Najib, maka saya mampu menegaskan, bahawa segala pendedahan fakta yang saya buat dalam surat keluaran ini dan juga dalam beberapa banyak Surat Terbuka saya sebelum ini, tidak pernah lari sedikitpun daripada landasan kebenaran.

21. Saya menyimpan hak saya untuk menyambung ulasan mengenai isu ini pada masa yang sesuai, memandangkan perbicaraan kes Sodomi II akan disambung semula pada 19 September 2011, walaupun saya sedar akan risikonya.

Sekian, untuk makluman dan tindakan YDH Tan Sri dimana berkaitan mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada. Salam sejahtera.

Yang benar,

Mat Zain Ibrahim

Posted in Demokrasi, KEADILAN | Tinggalkan komen